KLIMS 2026 Catat 205,440 Pengunjung, Jana Minat Komersial Tinggi
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (KLIMS 2026) mencatat kehadiran seramai 205,440 pengunjung serta menjana minat komersial yang tinggi dalam kalangan pempamer sepanjang tempoh penganjuran selama 10 hari, sekali gus mencerminkan penglibatan pengguna yang memberangsangkan.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain berkata KLIMS 2026 terus membuktikan kekuatan, ketahanan dan keupayaan adaptasi industri automotif negara.
“Penyertaan pempamer yang memberangsangkan serta sambutan luar biasa pengunjung mencerminkan transformasi berterusan industri ke arah elektrifikasi, inovasi dan penyelesaian mobiliti yang lebih pintar.
“Selain mempamerkan kenderaan dan teknologi terkini, KLIMS kini berkembang sebagai platform mobiliti komprehensif yang menghimpunkan keseluruhan ekosistem automotif bagi memupuk kerjasama, mempercepat inovasi serta menyokong peralihan Malaysia ke arah masa depan mobiliti yang lebih selamat, bersih dan mampan,” katanya.
KLIMS 2026 yang dianjurkan oleh MAA dan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd (Qube) menghimpunkan jenama automotif dan mobiliti terkemuka di bawah tema “Beyond Mobility”, yang menekankan peralihan industri kepada teknologi hijau, elektrifikasi serta ekosistem mobiliti pintar dan saling berhubung.
Edisi ke-11 pameran itu menampilkan penyertaan pelbagai jenama termasuk Dongfeng, GWM, Honda, Hyundai, Jetour, Kia, Maxus, Mazda, MG Motors, Nissan, Perodua, Proton, Proton e.MAS, smart, Toyota, Wuling, XPENG dan Zeekr, selain AFAZ serta Suzuki bagi kategori motosikal.
Proton memperkukuh hala tuju elektrifikasinya menerusi model CKD e.MAS 5 dan e.MAS 7 Premium Plus, manakala Perodua memperkenalkan C2 Concept iaitu prototaip sedan EV yang menandakan fasa baharu syarikat itu, selain pratonton QV-E G+ Edition. Honda pula memperkenalkan model coupe hibrid Prelude yang dinanti-nantikan ke pasaran Malaysia.
Hyundai turut mencuri tumpuan dengan model berprestasi tinggi Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N yang menandakan kehadiran rasmi jenama N di Malaysia, selain pelancaran Stargazer untuk kegunaan keluarga. Mazda pula memperluaskan penawarannya menerusi CX-60 MHEV.
Sementara itu, MG Motor memperkenalkan ZS Hybrid+ dan Cyberster, manakala Jetour melancarkan SUV T2 i-DM plug-in hybrid serta G700, sekali gus menyerlahkan kepelbagaian model baharu yang dipamerkan.
Pengerusi Eksekutif Qube Richard Teo berkata KLIMS 2026 sekali lagi menetapkan penanda aras baharu sebagai pameran mobiliti berskala besar yang imersif dan menarik.
Beliau berkata edisi tahun ini berjaya menggabungkan inovasi automotif, pengalaman gaya hidup serta penglibatan komuniti di bawah satu bumbung, sekali gus mewujudkan platform dinamik kepada pihak industri dan orang ramai.
“Kami berbangga dapat memainkan peranan dalam meningkatkan KLIMS sebagai pameran automotif serantau bertaraf antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA