BERITA TERKINI   Malaysia negara pertama di dunia tubuh Tribunal Anti-Buli, selaras komitmen Kerajaan MADANI kekang budaya buli - Azalina | PRN Johor: KDN beri jaminan pergerakan rakyat Johor bekerja di Singapura untuk pulang mengundi berjalan lancar - Saifuddin Nasution | PRN Johor : Pakatan Harapan akan lancar manifesto dalam masa terdekat - Saifuddin Nasution | Kerajaan peruntuk RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia bantu golongan memerlukan dapatkan representasi guaman, pembelaan hak di Mahkamah Syariah - PM Anwar | PRN Johor : BN dan PH tanding 56 DUN, PN (33), Bersama (15), MUDA (4), bebas (6), Parti Orang Asli Malaysia (satu) dan PSM (satu) - SPR | 

Waris Boleh Semak Takaful, Insurans Anggota Keluarga Meninggal Dunia Melalui Semak Kasih

Oleh Nurfadlina Izzati Moktar

KUALA TERENGGANU, 27 Jun (Bernama) -- Waris kini boleh menyemak dengan mudah sama ada ahli keluarga yang telah meninggal dunia mempunyai perlindungan takaful keluarga atau insurans hayat menerusi Semak Kasih.

Semak Kasih adalah portal sehenti dalam talian yang dibangunkan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) bagi membantu menghubungkan semula keluarga dengan manfaat perlindungan yang mungkin masih belum dituntut.

Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTA, Mohd Radzuan Mohamed berkata portal itu diperkenalkan untuk membantu penerima manfaat menyemak manfaat sijil takaful dan polisi insurans hayat yang belum dituntut kerana tidak mengetahui perlindungan tersebut.

"Sebelum ini, sesiapa yang ingin membuat pertanyaan perlu menghubungi setiap syarikat insurans dan pengendali takaful secara berasingan.

“Melalui portal ini, pengguna hanya perlu menggunakan satu platform untuk menyemak sama ada ahli keluarga yang telah meninggal dunia mempunyai perlindungan dengan mana-mana daripada 25 syarikat insurans dan takaful yang mengambil bahagian," katanya kepada Bernama selepas Karnival Celik Kewangan Terengganu di sini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Turut hadir ialah Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid dan Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O'Dell.

Mohd Radzuan berkata pengguna hanya perlu memasukkan nama dan nombor kad pengenalan individu yang meninggal dunia serta memuat naik salinan sijil kematian yang jelas sebelum sistem membuat carian dalam pangkalan data yang mengandungi rekod daripada 25 syarikat yang mengambil bahagian.

"Selepas carian selesai, sistem akan menjana laporan yang mengenal pasti syarikat yang mempunyai rekod sepadan serta maklumat untuk dihubungi. Waris kemudiannya boleh menghubungi syarikat berkenaan secara terus bagi mengetahui sama ada terdapat sebarang manfaat yang boleh dituntut," katanya.

Beliau berkata portal itu bukan platform tuntutan, sebaliknya berfungsi sebagai panduan dengan menghubungkan pengguna dengan pengendali takaful atau syarikat insurans yang berkaitan tanpa mendedahkan butiran sijil atau polisi, nilai perlindungan atau status tuntutan.

Platform itu amat bermanfaat terutama dalam keadaan ahli keluarga tidak mengetahui bahawa individu yang meninggal dunia pernah mengambil perlindungan insurans atau takaful, termasuk polisi yang dibeli sejak sekian lama seperti insurans hayat berkaitan pinjaman perumahan yang mungkin masih aktif walaupun hartanah telah dijual, katanya.

"Ada juga individu yang merahsiakan urusan kewangan mereka atau tinggal bersendirian, jadi anggota keluarga tidak mengetahui kewujudan polisi insurans atau sijil takaful. Platform ini membantu memastikan manfaat sedemikian akhirnya dapat disalurkan kepada waris yang berhak," katanya.

Pangkalan data yang mengandungi kira-kira 37 juta rekod polisi itu telah diwujudkan, sekali gus membolehkan hasil carian diperoleh hampir serta-merta tanpa pengguna perlu menunggu beberapa hari atau minggu untuk mendapatkan maklum balas awal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O'Dell berkata perkhidmatan itu disediakan secara percuma sebagai sebahagian komitmen industri insurans dan takaful untuk memastikan penerima manfaat yang layak mendapat perlindungan kewangan yang telah dihasrat untuk mereka, sekali gus membantu menjamin kesinambungan dan keterjaminan kewangan keluarga.

Beliau berkata Semak Kasih diwujudkan bagi mengatasi jurang tersebut menerusi satu platform carian tunggal dan berpusat yang membantu keluarga mengenal pasti pengendali takaful atau syarikat insurans hayat berkaitan di samping mengambil langkah seterusnya untuk membuat pertanyaan mengenai manfaat yang mungkin boleh dituntut.

"Portal ini percuma dan mudah digunakan di samping menawarkan ketenangan fikiran. Menerusi portal ini, pengguna dibantu dari segi akses sokongan kewangan yang sememangnya menjadi hak mereka.

"Menerusi portal ini, orang ramai boleh menyemak sama ada individu yang meninggal dunia mempunyai sijil takaful keluarga atau polisi insurans hayat dengan penyedia yang mengambil bahagian, mengenal pasti pengendali takaful atau syarikat insurans hayat berkaitan, serta memperoleh maklumat untuk dihubungi bagi memudahkan urusan pertanyaan lanjut dan proses berkaitan tuntutan,” katanya.

Beliau berkata untuk membuat carian, pengguna hanya perlu melayari portal Semak Kasih di semak-kasih.mycoverage.my, mendaftar akaun menggunakan nama, nombor MyKad, alamat e-mel dan nombor telefon bimbit; log masuk selepas pendaftaran berjaya; kemudian mengemukakan pertanyaan dengan memasukkan maklumat pengenalan individu yang meninggal dunia serta memuat naik salinan sijil kematian yang jelas.

O'Dell berkata sekiranya rekod sepadan ditemui, pengguna akan diberikan maklumat mengenai pengendali takaful atau syarikat insurans hayat yang berkaitan bagi mendapatkan bantuan lanjut.

"Jika tiada rekod sepadan ditemui, portal akan memaparkan mesej tiada sijil takaful atau polisi insurans ditemui dalam rekod," katanya.

Inisiatif Semak Kasih mencerminkan komitmen industri untuk memastikan keluarga mengetahui pengaturan perlindungan kewangan yang telah disediakan oleh insan tersayang, katanya.

"Dalam tempoh sukar selepas kehilangan orang tersayang, keluarga tidak seharusnya mengalami kesukaran yang tidak perlu dalam mengenai pasti sama ada perlindungan takaful atau insurans itu ada atau sebaliknya.

“Menerusi langkah menghimpunkan industri dalam satu platform, Semak Kasih membantu mengurangkan ketidakpastian yang dihadapi keluarga pada saat-saat sukar itu. Kami berharap inisiatif ini akan dapat memberikan lebih kejelasan, kemudahan dan ketenangan fikiran kepada rakyat Malaysia," katanya.

Semak Kasih dibangunkan secara bersama-sama oleh MTA dan LIAM di bawah seliaan BNM sebagai platform perkhidmatan awam sehenti yang membolehkan orang ramai menyemak sama ada ahli keluarga yang telah meninggal dunia mempunyai sijil takaful keluarga atau polisi insurans hayat dengan pengendali takaful dan syarikat insurans hayat yang mengambil bahagian.

-- BERNAMA