Bank Muamalat Lancar Inisiatif Kewangan Islam Baharu, Perkasa Wanita, Dan Legasi
KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) hari ini melancarkan dua inisiatif baharu iaitu M-Zahra Takaful MyLadies dan Kalkulator Faraid Digital sempena Karnival Celik Kewangan Terengganu 2026.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata wanita hari ini memainkan peranan yang semakin penting bukan sahaja dalam institusi keluarga, malah sebagai penyumbang ekonomi dan pembuat keputusan kewangan.
“Di Bank Muamalat, kami percaya bahawa setiap wanita berhak mendapat perlindungan kewangan yang menyokong aspirasi, kesejahteraan dan jaminan masa depan mereka.
“M-Zahra Takaful MyLadies dibangunkan bukan sekadar sebagai produk perlindungan, tetapi sebagai solusi menyeluruh yang memahami perjalanan hidup dan keperluan wanita masa kini,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pelancaran Kalkulator Faraid Digital pula mencerminkan komitmen Bank Muamalat dalam memperkukuh literasi kewangan Islam melalui penyediaan solusi digital patuh Syariah yang lebih mudah diakses serta praktikal.
“Perancangan harta yang baik bukan sahaja membantu memastikan pengagihan harta dilaksanakan secara adil menurut Syariah, malah turut memainkan peranan penting dalam memelihara keharmonian keluarga dan memberi ketenangan kepada waris pada masa hadapan,” katanya.
M-Zahra Takaful MyLadies direka khusus untuk menyokong wanita pada setiap fasa kehidupan melalui perlindungan kewangan, manfaat perubatan, simpanan dan perancangan legasi yang selari dengan aspirasi dan gaya hidup wanita moden.
Manakala, Kalkulator Faraid Digital diperkenalkan bagi membantu masyarakat Islam membuat pengiraan awal pembahagian harta pusaka secara mudah, cepat dan tepat mengikut prinsip Faraid serta hukum Syariah.
“Pelancaran tersebut mencerminkan komitmen berterusan Bank Muamalat dalam memperluas akses kepada solusi kewangan Islam yang lebih inklusif, praktikal dan relevan selari dengan keperluan masyarakat masa kini yang mementingkan perlindungan kewangan, kesejahteraan keluarga dan perancangan legasi,” kata Bank Muamalat.
Untuk maklumat lanjut mengenai M-Zahra Takaful MyLadies dan Kalkulator Faraid Digital, layari www.muamalat.com.my atau kunjungi mana-mana cawangan Bank Muamalat berhampiran.
-- BERNAMA