MIHAS 2026 Jadi Platform Praktikal Hubungkan Usahawan Malaysia, China - MEEDC
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 yang sedang berlangsung merupakan platform praktikal untuk menghubungkan usahawan Malaysia dan China, dengan produk berasaskan durian dari Perak dilihat berpotensi besar menembusi pasaran China.
Ahli Majlis Penasihat Tertinggi Pusat Data Usahawan dan Ekosistem Malaysia (MEEDC) Sophia Ma berkata persatuan itu yang memberi tumpuan khusus kepada ekosistem halal China-Malaysia, turut melihat MIHAS sebagai platform utama bagi memupuk hubungan dengan pasaran halal secara global, selain China.
“Menerusi MIHAS sebagai pintu masuk, kami berhasrat menjalin hubungan dengan pihak berkepentingan perniagaan dan kerajaan di Malaysia serta mewujudkan saluran praktikal untuk perdagangan halal dan pelaburan industri.
“Itulah sebabnya kami memilih untuk menaja acara ini,” katanya kepada Bernama Mobile Studio (BMS) di sini hari ini.
Ma dijemput sebagai tetamu bagi membincangkan topik ‘Meneroka Impak Penajaan dan Peluang Rakan Kongsi’ di MIHAS 2026, yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Mengenai potensi peluang perniagaan antara kedua-dua negara, Ma berkata pasaran China boleh diterokai secara lebih meluas bagi produk berasaskan durian dari Perak.
“Produk ini mempunyai potensi yang sangat besar sekiranya dieksport ke China kerana pasarannya yang begitu luas dan Malaysia juga boleh menerokai lebih banyak peluang di sana,” tambah beliau.
Bagi perniagaan dari China pula, beliau berkata mereka boleh menerokai sektor tekstil dan fabrik di Malaysia serta membekalkan bahan-bahan, terutamanya bahan yang melibatkan teknologi baharu untuk pasaran Malaysia.
Beliau berkata, cuaca tropika Malaysia mewujudkan permintaan terhadap fabrik pengudaraan mesra cuaca dengan syarikat dari China seperti di Shanghai, menawarkan produk yang menggunakan teknologi baharu termasuk unsur nadir bumi bagi meningkatkan kecekapan pengudaraan fabrik berkenaan.
“Terdapat pasaran yang besar untuk tekstil dari China di Malaysia,” tambah beliau.
MIHAS 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 26 September, telah menarik kehadiran 30,000 pelawat setakat ini (sehingga hari ketiga) dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 50,000 pelawat.
Bertemakan “Shaping Trust, Driving Resilience” (Melakar Kepercayaan, Memacu Daya Tahan), MIHAS edisi ke-22 menampilkan 2,000 reruai, 1,700 pempamer dan 450 pembeli antarabangsa dari 58 negara.
MIHAS 2026 menyasarkan potensi perniagaan lebih RM5 bilion dan berhasrat meluaskan akses pasaran untuk produk halal Malaysia ke peringkat global.
-- BERNAMA