BERITA TERKINI   MD2030 sasar 30 peratus kepada KDNK, 500,000 peluang pekerjaan dan RM4.5 bilion penjimatan sektor awam melalui pendigitalan - KD | Tujuh teras strategik MD2030 digerakkan melibatkan pelbagai kementerian sebagai pendekatan holistik kerajaan - KD | PM Anwar hari ini lancar Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) | Parlimen: Perkhidmatan LRT3 mampu tampung keperluan pengguna, unjuran 67,000 penumpang sehari - Hasbi | RT Pastry Holdings Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE pada 17.5 sen, berkurangan 0.5 sen daripada harga IPO sebanyak 18 sen, dengan 68.28 juta saham diniagakan | 

MTEN Laksana 120 Keputusan Tangani Impak Krisis Bekalan Global – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Sebanyak 120 keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani impak krisis bekalan global, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 27 keputusan telah pun diselesaikan, manakala 93 lagi sedang dalam pelaksanaan.

“Ini menunjukkan bahawa intervensi kerajaan bukan sekadar diumumkan, tetapi sedang dilaksanakan dan dipantau secara dekat,” katanya ketika memberi penerangan kepada Ahli Dewan Rakyat berhubung krisis bekalan global di Dewan Rakyat, hari ini.

Ad Banner

Akmal Nasrullah berkata keputusan berkenaan merangkumi langkah segera bagi mengurangkan kesan krisis terhadap rakyat serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain memastikan kelangsungan bekalan barangan keperluan dan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.

Beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan realistik dengan mengambil kira jangkaan bahawa pemulihan krisis bekalan global tidak akan berlaku dalam tempoh singkat.

“Namun, kita tidak akan menunggu sehingga keadaan benar-benar pulih. Sebaliknya, pemantauan dan intervensi akan diteruskan sepanjang tempoh pemulihan ini bagi mengurangkan tekanan kepada rakyat, PMKS dan industri,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengulas perkembangan antarabangsa, beliau berkata pasaran tenaga dijangka mula stabil secara berfasa pada suku ketiga 2026, namun perkembangan itu masih bergantung kepada kestabilan geopolitik dan kelancaran semula rantaian perdagangan global.

“Ketidaktentuan harga serta bekalan tenaga dijangka terus memberi kesan kepada pasaran dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak menafikan krisis bekalan global membawa risiko besar sekiranya berlarutan, namun risiko itu sedang diurus secara tersusun, berhemah dan berasaskan data.

“Perkembangan krisis ini akan terus dipantau melalui MTEN dan agensi berkaitan.

“Perkongsian maklumat kepada rakyat akan dibuat mengikut keperluan supaya semua pihak menerima maklumat yang jelas, tepat dan terkini,” katanya.

Akmal Nasrullah turut menegaskan bahawa usaha menangani impak krisis tersebut memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengurangkan kesannya terhadap ekonomi negara dan rakyat.

“Dengan pendekatan ini, Malaysia akan terus berwaspada tanpa cemas, realistik tanpa defensif, dan bertindak awal supaya ekonomi negara kekal stabil, rakyat terus dilindungi serta keyakinan terhadap Malaysia terus diperkukuh,” katanya.

-- BERNAMA