Makanan Haiwan Peliharaan Notti Buatan Malaysia Sasar Perluas 'Jejak' Di Asia Tenggara
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Kesukaran mendapatkan pilihan makanan haiwan peliharaan yang berkhasiat di pasaran telah mendorong pakar sains makanan dan pemakanan, Yap Ke Yee menubuhkan Notti Sdn Bhd pada Julai 2023 untuk memenuhi keperluan haiwan peliharaannya.
Mencari makanan haiwan peliharaan dengan nilai nutrisi yang diingininya untuk anjing dan dua ekor kucingnya bukanlah satu perkara yang mudah, namun Yap mengubah halangan itu menjadi peluang dengan membangunkan jenama makanan haiwan peliharaan premium, Notti Pet Food.
Kini, syarikat itu menyasarkan pasaran eksport menyumbang sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan jualan dalam tempoh tiga tahun, berbanding kira-kira 10 peratus pada masa ini sambil ia meluaskan pasaran ke Asia Tenggara dan membangunkan jenama Malaysia untuk pasaran antarabangsa.
DARIPADA DILEMA PEMILIK HAIWAN PELIHARAAN KEPADA PELUANG PERNIAGAAN
Yap berkata pengalamannya sebagai pemilik haiwan peliharaan, digabungkan dengan latar belakang dalam sains pemakanan, telah mendorong beliau mengenal pasti jurang dalam pasaran makanan haiwan peliharaan di Malaysia terutamanya dari segi pilihan yang berkhasiat.
“Sebelum memulakan perniagaan ini, kajian saya mendapati pilihan makanan haiwan peliharaan yang mempunyai nilai pemakanan yang baik masih kurang dalam industri dan tiada pihak yang berusaha menanganinya.
“Adalah sukar untuk mendapatkan jenama makanan haiwan peliharaan yang menggunakan bahan-bahan berkhasiat terutama bagi jenis makanan kering (kibble),” katanya kepada Bernama.
Kekecewaan yang dialami beliau menjadi asas kepada penubuhan Notti, yang bertujuan meningkatkan standard nutrisi haiwan peliharaan menerusi penggunaan daging segar, resipi yang menawarkan manfaat kesihatan khusus dan pelbagai teknologi pengeluaran.
Bermula daripada pasukan empat orang, syarikat itu kini berkembang kepada 10 pekerja dan menawarkan kira-kira 40 unit penyimpanan stok (SKU), merangkumi makanan kering yang dibakar secara perlahan, makanan snek, makanan tambahan dan aksesori haiwan peliharaan di bawah rangkaian Notti Living.
Yap menegaskan semua makanan kering untuk kucing keluaran Notti mendapat pensijilan suci daripada Islamic Food Research Centre (Hong Kong) yang amat relevan khususnya kepada pemilik haiwan peliharaan beragama Islam.
CABARAN MENJADI PEMANGKIN PERTUMBUHAN
Memandangkan Notti semakin berkembang, Yap berdepan pula dengan masalah kekurangan stok yang berulang, sekali gus memberi tekanan kepada aliran tunai dan inventori.
“Kami pernah berdepan krisis kehabisan stok yang agak teruk beberapa kali,” katanya.
Notti kemudiannya berjaya mendapat dana permulaan sebanyak US$500,000 (RM2.4 juta) daripada 500 Southeast Asia dan First Move, dengan sokongan Khazanah Nasional Bhd menerusi Dana Impak dan Jelawang Capital.
Yap berkata pembiayaan itu telah menambah baik pengurusan inventori dan aliran tunai syarikat, manakala pihak pelabur pula memberikan bimbingan, rangkaian hubungan dan idea untuk memajukan lagi perniagaan berkenaan.
Beliau juga prihatin untuk memastikan makanan haiwan peliharaan premium kekal mampu milik bagi pemilik haiwan yang berdepan dengan kekangan kos.
Rangkaian ‘Crunchy Baked’ Notti menggabungkan teknologi pembakaran secara perlahan dan pengeluaran komersial yang menawarkan saiz pembungkusan lebih besar pada harga yang lebih berpatutan, sambil mengekalkan tumpuan terhadap nilai pemakanan dan penggunaan bahan-bahan berkualiti.
“Kami menyedari bahawa kami perlu memenuhi keperluan pengguna pada pelbagai peringkat harga. Walaupun kandungan daging segarnya sedikit lebih rendah, kami tetap mengekalkan fokus utama terhadap pemakanan haiwan peliharaan dan penggunaan bahan-bahan berkualiti tinggi dalam resipi kami,” kata Yap.
Berikutan permintaan yang tinggi, Notti juga bakal melancarkan rangkaian makanan basah kucing pertamanya pada bulan hadapan, yang menampilkan dua format dan empat perisa.
Bagi menangani peningkatan kos bahan mentah dan logistik, syarikat itu mengutamakan strategi pemasaran organik yang menjimatkan kos, dengan memanfaatkan platform media sosial berbanding perbelanjaan pengiklanan yang tinggi untuk mengekalkan kecekapan kewangan.
Notti juga kerap menganjurkan aktiviti bersama pemilik haiwan peliharaan untuk mengeratkan kesalinghubungan dengan mereka dan bukan sekadar syarikat yang menjual makanan haiwan peliharaan semata-mata.
DARI MALAYSIA KE PASARAN SERANTAU
Yap percaya hubungan rapat beliau dengan para pemilik haiwan peliharaan turut membentuk strategi pengembangan serantau Notti.
Syarikat itu kini menyasarkan Indonesia dan Vietnam sebagai pasaran seterusnya, di samping meluaskan kehadirannya di Malaysia yang mana ia mempunyai kira-kira 250 lokasi jualan.
Notti kini telah bertapak di Singapura, Brunei, Filipina dan Macau, dengan kira-kira 30 lokasi jualan di luar negara, selain turut berada di platform Amazon di Amerika Syarikat.
Daripada sekadar meletakkan produk di rak jualan, Yap berkata Notti mahu kerjasama yang lebih besar dengan pengedar tempatan untuk membina jenama berkenaan di pasaran baharu.
Beliau juga berharap dapat membawa teknologi terkini pembuatan makanan haiwan peliharaan ke Malaysia untuk memberi manfaat kepada industri tempatan.
Yap berkata teknologi yang diperlukan untuk menghasilkan kibble daging segar Notti masih belum terdapat di Malaysia, walaupun beliau melihat terdapat potensi bagi pembuatan tempatan memandangkan permintaan semakin meningkat.
“Kami bersedia mewakili Malaysia bukan sahaja dari segi bahan-bahan yang digunakan, tetapi dari segi pembungkusannya. Kami mahu membawa nama negara sebagai jenama makanan haiwan peliharaan yang berkhasiat dari Malaysia,” tambahnya.
-- BERNAMA