BERITA TERKINI   Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | Untung bersih CIMB Group menurun kepada RM1.88 bilion pada suku ketiga 2026 daripada RM2.08 bilion tahun lepas | Sindiket dadah cuba guna lapangan terbang di Pulau Pinang, Ipoh sebagai laluan alternatif selepas pihak berkuasa perketat kawalan keselamatan di KLIA - Bukit Aman | Juruterbang TUDM yang ditahan berperanan sebagai pengangkut bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah - Bukit Aman | 

IOI PG REIT Sasar Hasil Aset Lebih Tinggi, Pengambilalihan Bagi Perkukuh Agihan Pemegang Unit

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- IOI Properties Group Real Estate Investment Trust (IOI PG REIT) menyasarkan untuk memperkukuh agihan kepada pemegang unit dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan menambah baik hasil daripada aset peruncitan, hotel dan pejabatnya serta meneruskan usaha pengambilalihan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IOI PG REIT Management Sdn Bhd Chris Chong Voon Foo pada sidang media selepas penyenaraian REIT itu hari ini berkata, syarikat akan melaksanakan inisiatif penambahbaikan aset di pusat beli-belah, meneroka pasaran dan perniagaan baharu untuk hotel serta menambah baik kemudahan dan perkhidmatan kepada penyewa pejabat bagi menyokong hasil pulangan.

“Bagi pengambilalihan pula, REIT itu akan terus memantau dengan teliti senarai aset yang bakal diperoleh daripada penajanya, IOI Properties Group Bhd (IOIPG), yang telah  dikenal pasti dalam prospektusnya.

Ad Banner

“Ia akan menilai aset-aset berkenaan untuk tujuan pengambilalihan sebaik sahaja aset itu matang dan tersedia untuk dimiliki,” katanya.

IOI PG REIT, yang disifatkan sebagai tawaran awam permulaan (IPO) REIT terbesar dalam tempoh sekurang-kurangnya 13 tahun, memulakan dagangan sulungnya di Pasaran Utama hari ini pada harga 87 sen, iaitu diskaun empat sen berbanding harga IPO sebanyak 91 sen, dengan 2.15 juta saham diniagakan pada sesi pembukaan.

Penyenaraian REIT itu disokong oleh portfolio yang terdiri daripada sembilan hartanah pegangan kekal merentasi segmen runcit, hospitaliti dan pejabat, dengan nilai gabungan berjumlah RM7.66 bilion.

Ad Banner
Ad Banner

Ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap sentimen pasaran, Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas IOIPG REIT dan CEO IOI Properties Group Datuk Lee Yeow Seng berkata harga IPO itu ditetapkan selepas proses penetapan harga, dengan mengambil kira maklum balas pelabur serta sentimen pasaran semasa.

"Harga 96 sen yang disebut sebelum penyenaraian itu merupakan harga tawaran maksimum di bawah proses penetapan harga dengan persetujuan penjual dan pembeli.

"Harga tawaran itu adalah sejajar dengan nilai aset bersih seunit REIT berkenaan, sekali gus membolehkan kumpulan mengewangkan asetnya pada nilai buku di samping memberi ruang untuk potensi keuntungan kepada pelabur," katanya kepada pemberita.

Susulan proses penetapan harga dalam kalangan pelabur institusi, harga IPO muktamad bagi REIT itu ditetapkan pada 91 sen seunit, iaitu lima sen di bawah harga tawaran runcit maksimum sebanyak 96 sen, menjelang penampilan sulungnya di Pasaran Utama.

Ketika ditanya mengenai tahap hutang, Chong berkata pihaknya telah memperuntukkan hasil daripada langkah penyenaraian REIT itu untuk membayar balik sebahagian daripada pinjamannya serta membiayai perbelanjaan modal dan pengambilalihan yang dijangkakan.

Ketika menjawab soalan mengenai rancangan dwipenyenaraiannya, Lee berkata REIT itu menyasarkan 2027 sebagai tahun cadangan penyenaraian sekunder di Bursa Singapura.

"Pihak pengurusan sedang menyediakan asas bagi cadangan itu untuk dikemukakan kepada lembaga pengarah bagi mendapatkan kelulusan," tambahnya.

Kumpulan itu sebelum ini menyasarkan awal 2027 untuk penyenaraian di Singapura. Ia berhasrat mengurangkan hutang bersih sebagai peratusan daripada ekuiti kepada antara 30 dan 50 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, berbanding kira-kira 85 peratus pada akhir Jun 2026.

Malaysia mempunyai 20 REIT yang disenaraikan pada akhir 2025, dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM59.32 bilion, meningkat daripada RM48.93 bilion pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA