BERITA TERKINI   Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | Untung bersih CIMB Group menurun kepada RM1.88 bilion pada suku ketiga 2026 daripada RM2.08 bilion tahun lepas | Sindiket dadah cuba guna lapangan terbang di Pulau Pinang, Ipoh sebagai laluan alternatif selepas pihak berkuasa perketat kawalan keselamatan di KLIA - Bukit Aman | Juruterbang TUDM yang ditahan berperanan sebagai pengangkut bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah - Bukit Aman | 

MAS, MAG Berpotensi Kembali Jadi Pemain Utama Dalam Industri Penerbangan - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Malaysia Airlines dan Malaysia Aviation Group (MAG) mempunyai potensi untuk kembali menjadi pemain utama dalam industri penerbangan jika kedua-duanya terus menunjukkan daya tahan dan mengekalkan kedudukan yang kukuh dalam menghadapi ketidaktentuan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan melalui Khazanah Nasional, terus komited untuk memastikan kejayaan Malaysia Airlines dan MAG, menyifatkan pertumbuhan kedua-duanya sebagai penting kepada industri penerbangan dan negara.

“Saya tidak perlu menyentuh mengenai kenaikan harga bahan api, yang sudah tentu menjadi kebimbangan syarikat penerbangan dan negara secara keseluruhannya. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya bagi memastikan harga RON95 untuk rakyat Malaysia menjadi antara yang terendah di dunia. Bagaimanapun, saya tidak dapat berbuat demikian untuk syarikat penerbangan.

Ad Banner

“Malaysia Aviation Group, Kapten Nasaruddin, perlu membayar harga bahan api mengikut kadar komersial.

“Namun, saya percaya, insya-Allah, jika anda terus menunjukkan daya tahan, mengekalkan kedudukan yang kukuh untuk menguruskan operasi dengan cekap, menarik pelaburan dan memperkukuh industri, kita akan sentiasa mempunyai keupayaan untuk mewujudkan peluang baharu bagi pertumbuhan,” kata beliau dalam ucapan pada majlis pertukaran dokumen pembelian pesawat badan lebar untuk penerbangan jarak jauh MAG di sini hari ini.

Anwar berkata kehadiran Boeing bukan sahaja mencerminkan keyakinan syarikat itu terhadap MAG, malah menggambarkan kekuatan hubungan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata MAG juga telah membuktikan keupayaannya untuk memenuhi komitmen yang telah dibuat.

Katanya Malaysia memainkan peranan yang semakin penting dalam ekosistem aeroangkasa global, disokong oleh keupayaan tenaga kerjanya dan keyakinan rakan kongsi antarabangsa.

Anwar berkata syarikat tempatan dan tenaga kerja negara turut memberikan sumbangan yang besar kepada industri penerbangan global, rantaian bekalan dan sektor industri bernilai tinggi yang lain.

Beliau berkata negara bukan sahaja berdepan tempoh yang tidak menentu, malah menghadapi pelbagai ketidaktentuan.

Oleh itu, katanya kerajaan dan sektor industri perlu bertindak cepat dalam menjangka dan menangani kebimbangan ini berikutan perubahan dalam realiti ekonomi, rantaian bekalan dan persaingan yang semakin sengit.

“Justeru, kita perlu lebih positif, kekal kukuh, bersedia untuk bersaing, membuat penyesuaian dan merebut peluang baharu,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu, MAG mengumumkan pembelian 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner dengan pilihan enam buah pesawat tambahan, sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan kumpulan pesawatnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A. Bakar serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

-- BERNAMA