BERITA TERKINI   SUKMA 2026: Kontinjen Selangor sapu bersih dua emas menerusi acara bola keranjang 3x3 lelaki dan wanita | Anak syarikat milik penuh Gamuda Bhd di Australia, DT Infrastructure Pty Ltd peroleh dua kontrak EPC dengan nilai keseluruhan RM1.64 bilion | APMM akan terima tiga lagi helikopter AW189 pada Disember ini - Saifuddin Nasution | APMM dijangka terima sebuah kapal induk pada suku pertama tahun hadapan - Saifuddin Nasution | Nilai kerja sektor pembinaan meningkat 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM47.8 bilion pada suku kedua 2026, didorong aktiviti pertukangan khas, bangunan bukan kediaman - DOSM | 

Kerajaan Pastikan Penurunan Harga Minyak Dunia Diterjemah Kepada Harga Barangan Lebih Rendah - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan terus memantau penurunan harga minyak dunia dan memastikan aliran penurunan itu diterjemahkan kepada harga barangan yang lebih rendah untuk pengguna, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata walaupun Malaysia berjaya mengekang kenaikan harga yang ketara ketika krisis tenaga melalui pelaksanaan subsidi bersasar seperti BUDI MADANI dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), tumpuan kerajaan kini memastikan manfaat daripada trend penurunan harga tenaga turut dinikmati pengguna.

“Apabila harga menunjukkan trend menurun, inilah peluang untuk kita memastikan penurunan itu seiring dengan kos tenaga yang menurun.

Ad Banner

“Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan tidak berlaku elemen pencatutan atau tindakan mengambil kesempatan sehingga beban itu terus ditanggung oleh pengguna dalam keadaan kos operasi telah mula menurun,” katanya pada sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata selain memantau harga, kerajaan turut memberi perhatian kepada kedudukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan aliran tunai syarikat terus kukuh dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi.

Katanya Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyediakan dana Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) sebanyak RM5 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk PMKS yang terjejas oleh konflik semasa di Asia Barat. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Akmal Nasrullah berkata lebih 1,000 PMKS telah mengguna pakai kemudahan itu dengan nilai berjumlah RM700 juta telah diluluskan.

Mengenai langkah kerajaan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi akibat konflik geopolitik, katanya kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada agenda pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara dan mengurangkan kebergantungan pada aktiviti bernilai rendah.

“Kita perlu komited ke arah industri HGHV supaya kita tidak bergantung pada nilai yang rendah atau sederhana selama-lamanya. Sebagai contoh, apabila bercakap mengenai semikonduktor, Malaysia bukan baharu dari segi semikonduktor pada peringkat global.

“Namun, kekuatan kita masih bergantung pada ‘back-end’ atau kedudukan di rantaian yang agak rendah untuk keseluruhan semikonduktor.

“Justeru, intervensi yang boleh kita buat, termasuk membawa akses kepada hak milik intelek (IP) itu sendiri, bagaimana untuk menembusi ke arah ‘front-end’ atau pada peringkat penciptaan semikonduktor. Perubahan sedang berlaku sekarang,” katanya. 

Akmal Nasrullah berkata antara usaha nyata adalah kerjasama dengan ARM Limited apabila 19 token telah dianugerahkan dengan sasaran untuk menghasilkan cip yang direka oleh Malaysia menjelang 2030.

-- BERNAMA