BERITA TERKINI   25,000 individu bakal terima manfaat menerusi Inisiatif Bakat MADANI - PM Anwar | MOT kenal pasti lima syarikat bagi pelaksanaan rintis sistem telematik kenderaan perdagangan - Loke | Pelaksanaan sistem telematik akan dilaksanakan secara berfasa bermula 2026 hingga 2028 - Loke | MD2030 sasar 30 peratus kepada KDNK, 500,000 peluang pekerjaan dan RM4.5 bilion penjimatan sektor awam melalui pendigitalan - KD | Tujuh teras strategik MD2030 digerakkan melibatkan pelbagai kementerian sebagai pendekatan holistik kerajaan - KD | 

Malaysia Airports percepat Transformasi Selepas Penstrukturan Semula 

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mempercepat transformasi menyeluruh organisasinya bagi memperkukuh tadbir urus, pelaksanaan projek dan kemampuan dalaman susulan langkah penstrukturan semula syarikat pada Mac 2025.

Dalam kenyataan hari ini, MAHB memaklumkan transformasi rangkaian lapangan terbangnya di seluruh negara akan mewujudkan penambahbaikan yang nyata kepada pengalaman penumpang, memperkukuh kesalinghubungan penerbangan antarabangsa dan memacu pelaburan infrastruktur utama bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang sektor penerbangan Malaysia.

“Transformasi ini disokong oleh tiga inisiatif utama iaitu proses peruntukan modal yang lebih berstruktur bagi memperkukuh tadbir urus dan pelaksanaan projek, transformasi perolehan untuk menambah baik kecekapan pemerolehan serta penciptaan nilai, dan semakan model operasi di seluruh kumpulan bagi mempertingkat keupayaan organisasi serta keberkesanan operasi.

Ad Banner

"Kesemua inisiatif ini telah memperkukuh kaedah projek dirancang, diberikan keutamaan dan dilaksanakan di seluruh organisasi, selaras dengan pelan perniagaan bermatlamat tinggi berteraskan tiga tonggak strategik iaitu perkhidmatan, pertumbuhan dan kapasiti," menurut kenyataan itu.

MAHB memaklumkan di bawah tonggak perkhidmatan, syarikat telah menambah baik pengalaman perjalanan penumpang menerusi pelbagai penambahbaikan melibatkan rangkaian lapangan terbangnya.

“Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), perkhidmatan aerotrain kini kembali beroperasi 24 jam sehari selepas pelaksanaan pelan tindakan yang komprehensif berjaya diselesaikan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Selain itu, sistem pengurusan akses kenderaan turut meningkatkan pengurusan lalu lintas dan keselamatan di kawasan menurunkan penumpang dengan kadar pematuhan melebihi 99 peratus terhadap had masa berhenti selama 10 minit,” menurutnya.

MAHB memaklumkan, proses pemeriksaan penumpang juga bertambah baik melalui projek perintis pemeriksaan keselamatan berpusat di Terminal 2 KLIA, yang berjaya menggandakan kapasiti pemeriksaan kepada 500 penumpang sejam.

Menurutnya, menerusi strategi pertumbuhan penerbangan yang disasarkan pula, MAHB berjaya memperluas hubungan antarabangsa dengan menambah syarikat penerbangan baharu serta perkhidmatan antarabangsa yang menghubungkan Malaysia dengan pasaran utama di Asia, Eropah dan Afrika Utara.

MAHB memaklumkan, pada 2025, jumlah trafik penumpang di KLIA meningkat sebanyak 11 peratus kepada 63.4 juta orang.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 15 syarikat penerbangan baharu dan 40 laluan baharu diperkenalkan dalam rangkaian Malaysia. Bagi separuh pertama 2026 pula, lapan syarikat penerbangan baharu dan 23 laluan baharu telah ditambah,” menurutnya.

MAHB memaklumkan, Malaysia kini mempunyai penerbangan terus ke beberapa destinasi antarabangsa baharu termasuk Shanghai, Jinan, Hong Kong dan Algiers menerusi syarikat penerbangan seperti Air Algérie, Hainan Airlines, Juneyao Air, Shandong Airlines, HK Express dan Spring Airlines.

Baru-baru ini MAHB mengumumkan pelan perbelanjaan modal berjumlah RM11.5 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan sebahagian besar peruntukan bagi memacu inisiatif strategik di bawah tonggak kapasiti, yang bertujuan memodenkan infrastruktur, menggantikan aset kritikal dan memperluas kapasiti di seluruh rangkaian lapangan terbang negara.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata pencapaian yang direkodkan sepanjang 15 bulan lepas menunjukkan komitmen syarikat untuk memacu pelan perniagaan yang tertumpu untuk meningkatkan perkhidmatan, memacu pertumbuhan dan membangunkan kapasiti.

"Dengan pasukan yang lebih kukuh menerajui agenda ini serta asas yang lebih mantap berikutan inisiatif transformasi utama dalam aspek tadbir urus, pengurusan dan kepimpinan, saya yakin kita akan terus menyaksikan pelaksanaan projek yang lebih berkesan dan lebih berdisiplin.

"Kejayaan yang dicapai setakat ini menunjukkan kita berada di landasan yang betul, Bagaimanapun, kami sedar bahawa proses transformasi adalah satu perjalanan jangka panjang," katanya.

Menurutnya MAHB akan terus memperkukuh kemampuannya menerusi pelaburan dalam lapangan terbang dan kakitangannya bagi memastikan penambahbaikan yang mampan bagi menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab penerbangan serantau.

-- BERNAMA