Silver Ridge Dedah Tidak Mengetahui Faktor Penurunan Mendadak Harga Saham
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Silver Ridge Holdings Bhd (SRHB) memaklumkan bahawa syarikat itu tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat, khabar angin atau faktor lain yang tidak didedahkan yang boleh menjelaskan mengenai penurunan mendadak harga sahamnya, berikutan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, suarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE itu berkata lembaga pengarah telah membuat pertanyaan kepada pengarahnya, pemegang saham utama, dan pihak berkaitan lain sebagai maklum balas terhadap pertanyaan pengawal selia yang dikeluarkan pada 29 Jun.
Syarikat pemasangan infrastruktur telekomunikasi itu berkata berdasarkan pengetahuan lembaga pengarahnya, tiada perkembangan korporat berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang belum diumumkan sebelum ini, yang mungkin menyumbang kepada aktiviti perdagangan.
Menurut syarikat itu, selain peletakan jawatan tiga pengarah eksekutifnya seperti yang diumumkan pada 26 Jun, ia tidak mengetahui sebarang rundingan atau perbincangan berterusan yang melibatkan perkembangan korporat yang penting.
Syarikat itu juga berkata ia tidak mengetahui sebarang khabar angin atau laporan yang melibatkan perniagaan atau hal ehwal kumpulan itu, mahupun sebarang penjelasan lain yang mungkin menyebabkan penurunan mendadak sahamnya.
Pada 2.13 petang, harga saham Silver Ridge susut 4.5 sen kepada 14 sen dengan 27.18 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA