BERITA TERKINI   Tiada kehilangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia dalam kejadian letupan peranti letupan buatan sendiri di Wilayah Narathiwat - Wisma Putra | BN tidak akan mencampuri urusan institusi Raja, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | Permintaan jalan penghubung luar bandar di Sabah, Sarawak akan dipertimbangkan dalam Bajet 2027 - Ahmad Zahid | Keutamaan BN ialah penyatuan kepimpinan dan ahli hadapi PRN Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | 25,000 individu bakal terima manfaat menerusi Inisiatif Bakat MADANI - PM Anwar | 

EPIC Sasar Hasil RM700 Juta, NAV RM1 Bilion Menjelang 2030

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corp Bhd (EPIC) menyasarkan hasil tahunan sebanyak RM700 juta dan nilai aset bersih (NAV) RM1 bilion menjelang 2030 di bawah Pelan Perniagaan Strategik EPIC 2025-2030 (EPIC BEST 2530).

Sasaran itu dipacu oleh pengembangan dalam perniagaan minyak dan gas (O&G), pengurusan pelabuhan serta tenaga boleh baharu.

Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Ts Muhtar Suhaili berkata penyedia penyelesaian O&G bersepadu itu menjangkakan hasil meningkat daripada RM411.9 juta pada masa ini kepada RM700 juta menjelang 2030, manakala NAV diunjurkan berkembang daripada kira-kira RM700 juta kepada RM1 bilion.

Ini berikutan satu lagi tahun prestasi kewangan yang mencatat rekod baharu apabila EPIC meraih keuntungan bersih sebanyak RM20.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025, berbanding RM16.6 juta pada tahun sebelumnya.

Hasil turut meningkat kepada paras tertinggi RM411.9 juta daripada RM403.8 juta sebelum ini, sekali gus meneruskan trajektori pertumbuhan kumpulan itu sejak 2022.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut kenyataan syarikat itu, prestasi yang lebih kukuh berkenaan didorong oleh pengambilalihan Rahar Niaga Sdn Bhd, sumbangan daripada kontrak Penyelenggaraan, Pentauliahan dan Pengubahsuaian (MCM) serta Penyambungan dan Pentauliahan (HUC) Pan Malaysia yang baharu diperoleh, dan ketibaan pelantar luar pesisir serta jumlah kargo yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, Muhtar menjangkakan 2026 akan menjadi satu lagi tahun yang mencatat prestasi terbaik untuk kumpulan itu.

"Tahun 2026 akan menjadi satu lagi tahun yang baik bagi EPIC dari segi hasil, kami menjangkakan satu lagi tahun yang memecahkan rekod.

"Dengan kontrak sedia ada pada masa ini, kami telah meraih beberapa kontrak daripada Petronas, bukan sahaja di Terengganu yang merupakan pangkalan kami, tetapi juga di wilayah selatan Semenanjung Malaysia, (termasuk di) Pengerang dan Melaka. Baru-baru ini, kami juga berjaya menembusi pasaran Sabah," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-45 syarikat itu hari ini.

Beliau berkata nilai kontrak yang diluluskan untuk perniagaan O&G kumpulan itu kini berada di antara RM1.3 bilion dan RM1.5 bilion, walaupun pendapatan sebenar akan bergantung kepada pesanan kerja dan pesanan pembelian yang dikeluarkan di bawah kontrak berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhannya, Muhtar berkata EPIC akan terus memperluas kehadirannya dalam sektor tenaga boleh baharu termasuk menyertai bidaan untuk projek hibrid hidro-solar di Kenyir bersama-sama syarikat induknya, Terengganu Inc.

"Kami adalah antara pembida dan berharap dapat memperoleh projek berkenaan," katanya.

Selain pasaran Malaysia, beliau berkata lembaga pengarah telah memberi mandat kepada pihak pengurusan untuk menerokai pengembangan ke pasaran negara jiran Asia sebagai sebahagian daripada strategi 2030, di samping terus menilai peluang di Asia Barat meskipun berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik semasa.

Pada Februari tahun ini, EPIC menerusi anak syarikatnya EPIC OG Sdn Bhd, memeterai perjanjian kerjasama dengan Begas Energy Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan projek bagi kontrak Pemulihan, Penyelenggaraan dan Pengubahsuaian Terminal di Sabah, sekali gus memperkukuh kehadiran kumpulan itu di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA