BERITA TERKINI   Tiada kehilangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia dalam kejadian letupan peranti letupan buatan sendiri di Wilayah Narathiwat - Wisma Putra | BN tidak akan mencampuri urusan institusi Raja, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | Permintaan jalan penghubung luar bandar di Sabah, Sarawak akan dipertimbangkan dalam Bajet 2027 - Ahmad Zahid | Keutamaan BN ialah penyatuan kepimpinan dan ahli hadapi PRN Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | 25,000 individu bakal terima manfaat menerusi Inisiatif Bakat MADANI - PM Anwar | 

Jati Tinggi Peroleh Kontrak Infrastruktur Tenaga RM86 Juta Di Kapar

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Jati Tinggi Group Bhd (JTGB) memperoleh kontrak bernilai RM86 juta bagi melaksanakan reka bentuk dan pembinaan kabel penghantaran talian atas 275 kilovolt (kV) serta infrastruktur tenaga berkaitan untuk sebuah pusat data di Kapar, Selangor.

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan itu menjelaskan anak syarikat milik penuhnya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd hari ini menerima surat lantikan (LOA) daripada sebuah syarikat Malaysia yang terlibat terutama dalam perundingan komputer, pemprosesan data, penyediaan infrastruktur pengehosan, perkhidmatan pemprosesan data dan aktiviti berkaitan.

“Nilai kontrak bagi kerja-kerja tersebut adalah RM86 juta, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ad Banner

JTGB menjelaskan skop kontrak merangkumi kerja-kerja awam dan struktur, pemasangan konduktor, kerja-kerja antara muka sistem maklumat geografi (GIS), peralatan stesen pendaratan, pembekalan peralatan di hujung talian penghantaran, penyepaduan sistem serta kerja-kerja pengujian.

Kontrak itu turut meliputi penyerahan akhir bagi membolehkan pusat data di Taman Teknologi Lembah Klang itu memulakan operasi komersial.

Menurut JTGB kontrak tersebut berkuat kuasa daripada tarikh pemilikan tapak projek sehingga 30 Sept, 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

LOA itu dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan, keuntungan sesaham serta aset bersih sesaham syarikat bagi sepanjang tempoh kontrak.

“LOA ini tidak akan menjejaskan modal saham dan pegangan saham utama syarikat,” tambahnya.

Mengenai risiko, JTGB memaklumkan pihaknya tidak menjangkakan sebarang faktor risiko yang berpunca daripada LOA tersebut selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan kontrak sedemikian.

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai kaitan dengan mereka sama ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung LOA berkenaan.

-- BERNAMA