BERITA TERKINI   Tiada kehilangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia dalam kejadian letupan peranti letupan buatan sendiri di Wilayah Narathiwat - Wisma Putra | 

Rasionalisasi Subsidi Pastikan Margin PMKS, Daya Saing Malaysia Terus Terpelihara -- MITI

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Langkah rasionalisasi subsidi dapat memastikan margin keuntungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta daya saing Malaysia terus terpelihara jika dilaksanakan secara berperingkat, bersasar dan disertai langkah sokongan komprehensif.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan penjimatan fiskal yang diperoleh perlu disalurkan secara telus serta strategik kepada pembangunan automasi PMKS selain memperkukuh infrastruktur kenderaan elektrik (EV) dan pembangunan tenaga hijau.

Menurut kementerian itu, dana berkenaan juga perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan bakat tempatan serta mempercepat perubahan industri bernilai tinggi.

Ad Banner

"Pendekatan ini akan memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam persaingan ASEAN dan terus menjadi destinasi pelaburan utama dalam era peralihan ekonomi global yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis dalam laman sesawang Dewan Rakyat hari ini. 

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai sama ada langkah pengurangan subsidi tidak mengecilkan margin keuntungan PMKS dan menjejaskan daya saing Malaysia dalam persaingan ASEAN bagi pelaburan, peralihan lokasi kilang pembuatan dalam teknologi EV, eksport serta strategi China Plus One.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, MITI memaklumkan melalui strategi berkenaan juga, pelabur dapat memanfaatkan jaringan ekonomi dan rantaian bekalan serantau yang dibina oleh syarikat-syarikat Malaysia di Asia Pasifik tanpa perlu membangunkan hubungan perniagaan dan rangkaian pembekal dari awal.

Jelasnya ekosistem sedia ada ini mempermudah penubuhan atau pengembangan operasi, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta mengukuhkan daya saing pelaburan selain mempercepat integrasi operasi, memperluas akses ke pasaran serantau dan global serta mengurangkan masa dan kos pelaksanaan pelaburan.

“Sehubungan itu, pengurangan subsidi tidak dijangka memberi kesan ketara terhadap strategi China Plus One memandangkan kekuatan ekosistem rantaian bekalan yang sedia ada jauh lebih ketara dalam mempengaruhi pelabur,” menurutnya.

-- BERNAMA