BERITA TERKINI   Sultan Selangor harap LRT3 kurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, beri pilihan perjalanan lebih pantas | Sultan Selangor zahir ucapan terima kasih dan penghargaan kepada PM Anwar setuju teruskan projek LRT3 | Malaysia sumbang US$1 juta kepada UNRWA, disalurkan secara berperingkat dari 2026 hingga 2030 --  Wisma Putra | Kontrak penganjuran MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan lima tahun hingga 2031 - Menteri KBS | Malaysia perlu persiapkan tenaga kerja hadapi era AI melalui pendidikan lebih berkualiti, latihan kemahiran dan pembangunan bakat - PM Anwar | 

Kerjasama weststar, Rocket Technologies Berpotensi Jana Nilai Komersial Lebih US$10 Bilion 

Daripada Diah Nor Iscahyono Mohd Jaiz Masyhuri

CANBERRA, 1 Julai (Bernama) -- Perjanjian usaha sama strategik (JVA) antara Weststar Group dan Rocket Technologies International Pty Ltd, Australia dijangka memberi sumbangan penting kepada perdagangan dua hala serta pertumbuhan ekonomi antara Malaysia dan Australia.

Perjanjian itu turut berpotensi menjana nilai komersial yang dianggarkan melebihi US$10 bilion (US$1=RM4.08) dalam jangka panjang menerusi pelbagai program masa depan dalam aeroangkasa, pertahanan, satelit dan teknologi maju.

Ad Banner

Pengasas dan Pengarah Urusan kumpulan Weststar Group Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim menyifatkan perjanjian itu sebagai satu pencapaian penting yang membawa transformasi dalam memperkukuh keupayaan industri berdaulat serta kerjasama teknologi strategik antara Malaysia dan Australia.

“JVA strategik ini bukan sekadar kerjasama perniagaan, malah mencerminkan komitmen jangka panjang untuk membangunkan keupayaan aeroangkasa dan pertahanan berdaulat, mewujudkan industri bernilai tinggi serta memperkukuh kerjasama teknologi antara Malaysia dan Australia.

“Kami yakin kerjasama ini akan mewujudkan peluang bermakna untuk pertumbuhan industri, pembangunan bakat, inovasi dan penciptaan nilai ekonomi untuk kedua-dua negara di samping menyumbang ke arah peningkatan keupayaan serantau dan kerjasama strategik jangka panjang,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemeteraian JVA strategik itu di sini hari ini, yang disaksikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datin Paduka Sharrina Abdullah.

Melalui JVA strategik itu, kedua-dua pihak akan menubuhkan entiti usaha sama khusus di Malaysia dan Australia untuk membangunkan serta menyediakan keupayaan aeroangkasa dan pertahanan berdaulat yang kritikal.

Usaha itu merangkumi pembuatan dan pemasangan sistem pertahanan bersepadu, sistem satelit awam serta penyelesaian satelit khusus untuk kerajaan yang menggabungkan reka bentuk dan kandungan tempatan.

Perjanjian itu turut merangkumi penyediaan perkhidmatan ujian roket, pensijilan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembangunan keupayaan pelancaran orbit dan suborbit.

Selain itu, perjanjian itu melibatkan inisiatif pembangunan industri nasional melibatkan pendidikan tenaga kerja, latihan teknikal dan kerjasama penyelidikan serta pembangunan yang disokong industri bersama universiti terkemuka dalam bidang aeroangkasa dan pertahanan di Malaysia dan Australia.

Sementara itu, Pengasas Rocket Technologies International Allan James Payne berkata kerjasama itu adalah langkah penting dalam memajukan inovasi aeroangkasa dan pertahanan serantau menerusi kerjasama antarabangsa yang dipercayai. 

“Kerjasama ini menggabungkan kekuatan industri, kepakaran dan visi jangka panjang kedua-dua organisasi untuk membangunkan keupayaan berdaulat yang maju bagi menyokong pertumbuhan industri masa depan, kemajuan teknologi serta kerjasama serantau antara Australia dan Malaysia,” katanya.

JVA strategik itu turut mengukuhkan lagi momentum Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia yang semakin berkembang, terutama dalam bidang kemakmuran ekonomi, kerjasama industri pertahanan, teknologi maju, pendidikan dan inovasi.

Kerjasama itu juga dijangka mewujudkan peluang baharu bagi penyertaan industri tempatan, pekerjaan berkemahiran tinggi, pengkomersialan hasil penyelidikan serta pembangunan ekosistem perindustrian yang mampan di kedua-dua negara.

-- BERNAMA