Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Dengan Kecenderungan Menaik Minggu Depan
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan menaik minggu depan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan terus menjadi pemangkin utama, memandangkan kenaikan kadar itu masih belum dapat dipastikan.
“Memandangkan ketidaktentuan yang menyelubungi kadar faedah AS, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan memberikan penjelasan lanjut mengenai pendirian dasar Rizab Persekutuan,” katanya kepada Bernama.
Minit mesyuarat FOMC dijadualkan dikeluarkan pada Khamis, 9 Julai (waktu Kuala Lumpur).
Bagi asas minggu ke minggu, semerta bulan Julai 2026 meningkat kepada US$4,183.40 setiap auns troy pada Jumaat berbanding US$4,065.30 sebelumnya, Ogos 2026 mengukuh kepada US$4,202.00 setiap auns troy daripada US$4,088.10, dan kontrak September 2026 menambah kepada US$4,216.90 setiap auns troy daripada US$4,092.60.
Sementara itu, kontrak Oktober dan Disember 2026 meningkat kepada US$4,236.00 setiap auns troy berbanding US$4,111.70 pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 667 lot daripada 69 lot, manakala kepentingan terbuka mengukuh kepada 392 kontrak pada Jumaat daripada 83 kontrak seminggu sebelumnya.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,129.20 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 2 Julai 2026.
-- BERNAMA