Ringgit Dibuka Mendatar Berbanding Dolar AS
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Ringgit dibuka hampir mendatar berbanding dolar AS pada Isnin berikutan peniaga menilai semula kemungkinan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) susulan data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah berbanding jangkaan.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0695/0780 berbanding dolar AS daripada 4.0690/0735 semasa ditutup pada Jumaat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keengganan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk memberikan panduan mengenai hala tuju kadar faedah membantu mengekalkan kestabilan ringgit.
"Perhatian utama minggu ini akan tertumpu kepada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang akan dikeluarkan selain mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis," katanya kepada Bernama.
Pengeluaran minit mesyuarat FOMC dan mesyuarat MPC BNM dijadualkan pada Khamis, 9 Julai.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.6543/6640 daripada 4.6497/6612 ketika ditutup pada Jumaat dan turut menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4336/4449 daripada 5.4296/4430 minggu lepas.
Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5203/5257 daripada 2.5214/5277 sebelumnya.
Pada masa sama, unit tempatan turut diniagakan rendah berbanding mata wang serantau.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1500/1571 daripada 3.1483/1563 semasa ditutup Jumaat lepas dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2627/2942 daripada 12.2384/2744.
Unit tempatan juga rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 226.5/227.1 daripada 226.2/226.8 Jumaat lepas dan menyusut berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.64 daripada 6.61/6.63.
-- BERNAMA