Penjimatan Perbelanjaan Operasi Dijangka Pacu Pertumbuhan Pendapatan CelcomDigi Pada 2027
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Penjimatan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dijangka menjadi pemacu pertumbuhan pendapatan CelcomDigi Bhd sebanyak 18.4 peratus bagi tahun kewangan berakhir 2027, apabila sinergi integrasi mula mendapat momentum selepas proses naik taraf platform teknologi maklumat (IT) disiapkan.
RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menjangkakan sinergi integrasi CelcomDigi meningkat dengan ketara pada 2027 selepas proses naik taraf yang disasarkan selesai pada suku pertama 2027.
Ia mengekalkan panduan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi tahun kewangan 2026 pada tahap 'pertumbuhan satu digit rendah' serta menyasarkan penjimatan perbelanjaan operasi sebanyak RM465 juta, dengan RM41 juta telah direkodkan pada suku pertama 2026.
"CelcomDigi juga dijangka mencatat penjimatan kos langsung yang lebih besar hasil daripada pemindahan trafik 4G kepada 5G, memandangkan 75 peratus trafik masih menggunakan 4G," katanya dalam satu nota hari ini.
Bagaimanapun, bank itu menyemak turun unjuran pendapatan teras tahun kewangan 2026 hingga tahun kewangan 2028 masing-masing sebanyak 3.4 peratus, 4.6 peratus dan tiga peratus selepas mengambil kira bahagian kerugian Digital Nasional Bhd (DNB) yang ditanggung CelcomDigi mulai suku ketiga 2026 serta kos akses 5G yang lebih tinggi, yang sebahagiannya diimbangi oleh sinergi perbelanjaan operasi.
Sehubungan itu, RHB IB mengekalkan saranan "beli" terhadap CelcomDigi, namun menurunkan harga sasaran kepada RM3.50 selepas mengambil kira pelaburan dalam DNB.
-- BERNAMA