BERITA TERKINI   Banjir Nepal-China : 55 rakyat Malaysia masih tidak dapat dihubungi setakat 4 Sept - Wisma Putra | Malaysia akan hantar 11 anggota SMART ke Nepal seawal 5 Sept - Wisma Putra | OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan di lokap - KP SPRM | SPRM menggantung pemakaian baju oren bagi OKS yang dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta - KP SPRM | Kerajaan akan terus pantau perkembangan jerebu dari semasa ke semasa - PMO | 
Ad Banner

MBSB Bank Biayai Transformasi Tenaga Solar RM78 Juta Bagi Infrastruktur Air Kedah

BALING, 4 Sept (Bernama) – MBSB Bank Berhad menyediakan pembiayaan patuh syariah bernilai RM78 juta untuk menyokong pelaksanaan projek tenaga solar di 32 kemudahan milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Kedah.

Pembiayaan itu untuk menyokong Dekad Aliran Sdn Bhd yang membangunkan tenaga solar berkapasiti 22 Megawatt (MW) menjelang penghujung 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad Rafe Haneef berkata pembiayaan patuh syariah itu berperanan mempercepatkan transformasi infrastruktur awam terutamanya dalam penggunaan tenaga yang mampan.

Ad Banner

“Melalui pembiayaan transformasi infrastruktur seperti ini, kami membantu mencapai aspirasi negara ke arah penyahkarbonan dengan pelaksanaan sebenar di lapangan.

“Transaksi ini juga membuktikan bagaimana pembiayaan patuh syariah mampu menjadi pemangkin kepada peralihan yang lebih mampan terhadap sektor-sektor penting negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Projek itu membolehkan SADA menjana tenaga bersih sendiri di loji-loji rawatan airnya, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik konvensional dan membantu menstabilkan kos tenaga dalam jangka panjang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Fasa pertama projek melibatkan peruntukan RM5.77 juta di tiga Loji Rawatan Air (LRA), iaitu LRA Kuala Ketil Baru, LRA Kuala Ketil Lama dan LRA Sungai Ular, dengan lebih 2,500 panel solar akan dipasang di ketiga-tiga lokasi berkenaan.

Fasa permulaan itu dijangka menghasilkan kira-kira 200,000 kilowatt-jam (kWh) tenaga bersih setahun selain memberikan penjimatan bil elektrik bulanan sehingga 15 peratus.

Projek berkenaan turut dijangka memberikan kestabilan kos tenaga untuk tempoh sehingga 30 tahun serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sebanyak 1,100 tan metrik setahun, bersamaan kesan penanaman kira-kira 50,000 pokok setahun.

Struktur pembiayaan MBSB Bank itu juga membolehkan projek dilaksanakan tanpa memerlukan perbelanjaan modal awal oleh SADA, sekali gus membolehkan syarikat air negeri itu menikmati manfaat penjimatan tenaga tanpa perlu mengeluarkan kos pelaburan besar pada peringkat awal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SADA Datuk Radzuan Osman berkata pemasangan sistem solar di 32 kemudahan itu membuka dimensi baharu kepada operasi rawatan air memandangkan SADA berupaya menjana tenaga sendiri.

“Kerjasama ini membolehkan kami meningkatkan kecekapan operasi, merancang kos tenaga dengan lebih baik untuk jangka panjang serta menyumbang secara langsung kepada usaha menangani perubahan iklim.

“Pada masa sama, ia memperkukuh keupayaan kami untuk terus menyediakan bekalan air yang berkualiti dan mampan kepada rakyat Kedah,” katanya.

Pengarah Dekad Aliran Sdn Bhd He Kar Lun berkata kemudahan pembiayaan daripada MBSB Bank memberikan sokongan kewangan untuk melaksanakan proses perolehan, pemasangan dan keperluan modal kerja bagi projek berkenaan.

Beliau berkata syarikat komited memastikan kesemua 32 lokasi pemasangan tenaga solar dapat disiapkan dengan selamat dan mengikut jadual menjelang 2027.

BERNAMA