BERITA TERKINI   PRN Melaka : BN muktamad rundingan dengan PAS, bertanding 21 kerusi, PAS dan rakan sekutu tujuh kerusi. | BN umum calon PRN Melaka Sabtu ini - TPM Ahmad Zahid | 

Gamuda, Kerajaan Negeri Perak Meterai Perjanjian Laksana Skim Bekalan Air Perak Utara

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Gamuda Bhd hari ini mengumumkan perjanjian untuk melaksanakan Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) yang ditandatangani antara Kerajaan Negeri Perak, Khazanah Air Perak Sdn Bhd (KAP) dan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIPP).

KAP ialah syarikat usaha sama 50:50 antara Gamuda dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), manakala PAIPP merupakan anak syarikat milik penuh KAP.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Gamuda memaklumkan di bawah perjanjian NPWSS itu, kerajaan negeri akan melantik KAP dan PAIPP untuk membangunkan, mengendalikan dan menyelenggara NPWSS, dengan PAIPP bertanggungjawab terhadap skop kerja loji rawatan air (WTP), manakala KAP bertanggungjawab ke atas skop kerja sumber air.

Ad Banner

"Perjanjian NPWSS itu merasmikan pelantikan PAIPP sebagai pengendali WTP untuk melaksanakan Skop Kerja WTP, termasuk hak untuk mengambil air mentah bagi WTP Fasa 1 dan peranan KAP dalam skop kerja sumber air," tambahnya.

NPWSS merupakan projek nasional dan inisiatif strategik kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang berlarutan bertujuan untuk pengairan, kegunaan domestik dan perindustrian di wilayah utara Perak.

Ia direka untuk menyalurkan sehingga 1,500 juta liter sehari (MLD) air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, dengan 500 MLD diperuntukkan bagi memenuhi keperluan pengairan segera di utara Perak.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Baki sebanyak 1,000 MLD pula bertujuan memenuhi permintaan air bagi kegunaan domestik dan perindustrian di Perak, termasuk membekalkan air terawat ke Fasa 2 Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), manakala lebihan air akan dijual sebagai air terawat kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP).

-- BERNAMA