MIDA Pergiat Integrasi Vendor Tempatan Dalam Rantaian Bekalan Tenaga Boleh Baharu
Oleh Vikneswaran Raman
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempergiat usaha mengintegrasikan syarikat tempatan ke dalam rantaian bekalan tenaga boleh baharu (TBB) menerusi program khusus yang menterjemahkan pelaburan hijau kepada peluang perniagaan secara langsung untuk syarikat domestik.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA Zuaida Abdullah berkata Program Rantaian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang diadakan bersempena Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau serta Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2026 baru-baru ini, menghubungkan pengilang dan penyedia perkhidmatan Malaysia dengan syarikat peneraju strategik.
Program Rantaian Bekalan TBB itu menampilkan sesi padanan perniagaan bersasar melibatkan 25 syarikat pembuatan dan perkhidmatan Malaysia yang berinteraksi secara langsung dengan syarikat peneraju untuk memperkenalkan keupayaan masing-masing, meneroka peluang sebagai pembekal dan penyedia perkhidmatan serta menempatkan diri untuk menyertai projek TBB berskala besar di seluruh negara.
IGEM 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 7 hingga 9 Okt menyaksikan MIDA menyasarkan prospek pelaburan TBB bernilai RM4 bilion.
Zuaida berkata MIDA menyasarkan untuk menggerakkan pelaburan hijau bernilai RM305 bilion menjelang 2030, susulan pencapaian Malaysia merekodkan pelaburan hijau berjumlah RM45.8 bilion termasuk RM12.5 bilion dalam TBB.
“Dari 2023 hingga 2025, MIDA meluluskan pelaburan TBB berjumlah hampir RM10 bilion yang merangkumi projek tenaga solar, hidro elektrik mini dan biotenaga, manakala bagi separuh pertama 2026 sahaja, Malaysia meluluskan jumlah pelaburan sebanyak RM218.5 bilion yang dijangka mewujudkan lebih 99,000 pekerjaan.
“Bagaimanapun, MIDA mengukur kejayaan pelaburan bukan semata-mata berdasarkan modal yang dilaburkan, tetapi juga berdasarkan manfaat yang ditinggalkan oleh sesuatu projek di Malaysia. Rangka Kerja Insentif Baharu untuk sektor pembuatan memberi ganjaran berdasarkan hasil seperti pembangunan pembekal tempatan, pemindahan teknologi dan mewujudkan pekerjaan berkualiti. Inilah pelaksanaan dasar perindustrian kita,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Zuaida berkata sektor TBB Malaysia perlu mengutamakan syarikat dan tenaga kerja tempatan, disokong oleh dasar yang stabil, pembekal yang diyakini serta tenaga kerja berkemahiran untuk menarik pelaburan dan mewujudkan peluang perindustrian jangka panjang.
Beliau menambah pemilik projek utama termasuk TNB Power Generation Sdn Bhd dan TNB Renewables Sdn Bhd berperanan sebagai peneraju strategik yang lazimnya memberikan kontrak kepada kontraktor-kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
“Kontraktor EPCC memainkan peranan penting dalam menyelaras perolehan, pemasangan dan pengujian, selain mengenal pasti vendor tempatan untuk komponen khusus seperti modul fotovoltaik (PV) solar, penyongsang, struktur pelekap dan kabel.
“Peranan MIDA adalah untuk merapatkan jurang akses dan memastikan syarikat tempatan memenuhi piawaian teknikal serta kelayakan yang ditetapkan oleh pemaju utama ini,” katanya.
Inisiatif itu turut menyokong program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam (LSS6) yang merangkumi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 2,650 megawatt (MW).
Di bawah LSS6, dasar yang diperkenalkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memberikan keutamaan dalam penilaian kompetitif kepada pembida yang menggunakan modul PV solar buatan tempatan.
Dalam rangka kerja #InvestLokal, MIDA menamakan lima syarikat tempatan sebagai ‘Juara Tempatan Tenaga Boleh Baharu’ pada IGEM 2026 selepas syarikat-syarikat itu memperoleh kontrak bernilai tinggi daripada syarikat peneraju strategik.
Syarikat berkenaan ialah Alliance MEP Sdn Bhd (kejuruteraan perundingan); Reactive Energy Sdn Bhd (integrasi grid termaju); Deltaspec (M) Sdn Bhd (penyelesaian penyimpanan tenaga); P.E.S.B. Engineering Sdn Bhd (khidmat servis dan penyelenggaraan berkala) dan SAA Engineering & Marine Sdn Bhd (keupayaan teknikal marin khusus).
“Syarikat-syarikat ini membuktikan firma Malaysia mampu menyumbang lebih daripada sekadar kerja kontrak am dengan menyediakan penyelesaian bernilai tinggi yang memerlukan kepakaran teknikal dalam pelbagai peringkat pembangunan TBB,” katanya.
Bagi memastikan integrasi rantaian bekalan tempatan dapat dikekalkan, MIDA turut menangani keperluan modal insan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menyasarkan sehingga 310,000 pekerjaan hijau menjelang 2050, selain keperluan jangka panjang terhadap 62,000 pekerja mahir bertauliah.
Zuaida berkata MIDA menggalakkan kerjasama antara industri dengan institusi akademik melalui inisiatif peningkatan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta universiti.
Inisiatif ini termasuk PRIME Talent Hub bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pusat pendidikan pekerjaan hijau di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Beliau juga mengalu-alukan inisiatif hijau dan TBB yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2027 termasuk pelaburan berjumlah RM1.5 bilion bagi membangunkan taman solar untuk bangunan kerajaan dan peruntukan khusus berkapasiti 150 MW di bawah projek LSS6 yang dikhaskan kepada syarikat Bumiputera bagi menggalakkan penyertaan inklusif dalam ekonomi hijau.
Selain itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan melabur RM15 bilion untuk memperkukuh grid nasional, manakala UEM Lestra akan melabur RM1 bilion bagi melaksanakan projek sistem penyimpanan tenaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan projek tenaga hibrid berkapasiti satu gigawatt di Johor.
MIDA turut menyambut baik pengumuman Dana Iklim KWAP bernilai RM1 bilion yang akan digunakan sepenuhnya untuk projek hijau, selain melanjutkan dan menambah baik insentif cukai GITA, termasuk elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus, sehingga 31 Dis, 2030 bagi menggalakkan penggunaan TBB, penyahkarbonan dan penerapan teknologi hijau.
-- BERNAMA