BERITA TERKINI   BN umum calon PRN Melaka Sabtu ini - TPM Ahmad Zahid | Sukan Para Asia 2026: Perenang Muhammad Nur Syaiful Zulkafli pertahan emas 100m kuak dada lelaki SB4, pecah rekod temasya | Insentif RM700 seorang kepada pengamal media swasta berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak - Premier | Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri, RM700 untuk penjawat awam Persekutuan berkhidmat di Sarawak - Premier | Indonesia cadang kerjasama dengan Malaysia, iktiraf warisan Melayu termasuk tulisan Jawi di peringkat antarabangsa - Fahmi | 

Sembilan Daripada 10 Perniagaan Di Malaysia Belum Bersedia Sepenuhnya Ancaman Siber AI - Synology Inc

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Hampir sembilan daripada 10 perniagaan di Malaysia belum bersedia sepenuhnya menghadapi ancaman siber yang didorong kecerdasan buatan (AI), sekali gus menunjukkan keperluan mengukuhkan keupayaan perlindungan dan pemulihan data seiring dengan penggunaan teknologi itu oleh syarikat, menurut Synology Inc.

Pengurus Synology cawangan Malaysia Jason Sin berkata perniagaan perlu mengimbangi manfaat AI untuk meningkatkan produktiviti dengan aspek keselamatan data serta keupayaan memulihkan operasi selepas berlaku gangguan.

“Data itu menunjukkan hanya 10.9 peratus daripada perniagaan di Malaysia menyatakan mereka sangat bersedia untuk mempertahankan diri daripada ancaman siber yang didorong AI dan memulihkan operasi selepas serangan.

Ad Banner

“Perniagaan juga perlu mencari keseimbangan yang tepat antara AI dan keselamatan data,” katanya semasa membentangkan dapatan daripada Tinjauan Asia Tenggara 2026 oleh Synology kepada media di sini hari ini.

Synology Inc ialah syarikat Taiwan yang mengkhusus dalam peranti storan sambung rangkaian.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Jabatan Perniagaan Antarabangsanya Joanne Weng dan Ketua Synologi bagi Asia Tenggara Antoine Yang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengenai kesiapsiagaan pemulihan, Sin berkata tinjauan itu mendapati hanya 26.4 peratus perniagaan yakin dapat memulihkan operasi dengan cepat dan pada masa sama memastikan data sandaran dilindungi daripada pemindaan, penyulitan atau penghapusan.

“Perniagaan perlu memastikan data sandaran mereka terus boleh digunakan apabila insiden berlaku memandangkan penyerang perisian tebusan juga boleh menyasarkan sistem sandaran bagi menghalang pemulihan data.

“Mempunyai sandaran data adalah penting tetapi perniagaan juga perlu memastikan data itu boleh dipulihkan apabila berlaku insiden atau bencana,” katanya.

Beliau berkata keselamatan siber telah menjadi isu kelangsungan perniagaan kerana serangan itu boleh menjejaskan pengeluaran, perkhidmatan hospital dan akses kepada data perniagaan.

Sementara itu, dapatan tinjauan yang dibentangkan itu turut menunjukkan hampir empat daripada lima perniagaan beroperasi tanpa platform bersepadu untuk keselamatan siber dan perlindungan data.

Sin berkata pengurusan sistem sandaran yang berasingan di beberapa cawangan boleh meningkatkan kerumitan pentadbiran serta risiko kesilapan konfigurasi.

“Pengurusan berpusat dapat membantu pasukan teknologi maklumat memantau operasi sandaran di pelbagai lokasi melalui satu antara muka.

“Tinjauan itu turut mengenal pasti bahawa keselamatan dan privasi data, kualiti serta ketersediaan data, dan data selerak merupakan cabaran utama dalam penggunaan AI di Malaysia,” katanya.

Mengenai tadbir urus AI, Sin berkata tinjauan itu mendapati hanya satu daripada 10 perniagaan yakin sepenuhnya bahawa mereka dapat menghasilkan log lengkap aktiviti AI manakala lebih 80 peratus tidak menguatkuasakan kawalan teknikal secara aktif terhadap penggunaan AI oleh pekerja.

“Perniagaan perlu mengetahui maklumat yang dikongsi oleh pekerja dengan peralatan AI, terutama apabila data sensitif syarikat dimuat naik dalam perkhidmatan luaran.

“Kami menggesa syarikat menggunakan AI berdasarkan keperluan perniagaan yang praktikal sambil mengekalkan kawalan terhadap maklumat mereka.

“Mulakan dengan keperluan perniagaan yang jelas, mengekalkan kawalan terhadap data anda dan mengembangkan penggunaan AI mengikut kemampuan sendiri,” katanya.

-- BERNAMA