Mercedes-Benz Malaysia Perkenal Hab Servis AMG One Pertama Di Asia Tenggara
KLANG, 21 Okt (Bernama) -- Mercedes-Benz Malaysia melabur RM2.2 juta untuk menubuhkan Hab Servis Mercedes-AMG ONE yang pertama dan tunggal di Asia Tenggara di Hap Seng Star Bukit Tinggi di sini sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat serantau bagi pakar perkhidmatan automotif.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Cars Malaysia Martin Schulz berkata pelaburan itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap kepakaran teknikal Malaysia dan kedudukan strategiknya.
Jelasnya, Malaysia sememangnya berperanan sebagai hab strategik bagi Mercedes-Benz dan penubuhan Hab Servis Mercedes-AMG ONE yang pertama dan tunggal di Asia Tenggara dapat memperluas lagi peranan ini.
"Ia mengukuhkan keyakinan kami terhadap bakat dan keupayaan negara ini serta memperkukuh komitmen kami terhadap pemilik kenderaan di seluruh rantau Asia Pasifik yang lebih luas.
“Mercedes-AMG ONE merupakan manifestasi tertinggi teknologi Formula Satu yang diaplikasikan pada kenderaan di jalan raya. Kejuruteraan luar biasa seperti ini memerlukan ekosistem perkhidmatan yang mempunyai kepakaran,” katanya pada sesi soal jawab selepas pelancaran rasmi kemudahan itu di Hap Seng Star Bukit Tinggi hari ini.
Schulz yang juga Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara memaklumkan kemudahan itu akan memperkukuh lagi peranan Malaysia sebagai hab perkhidmatan automotif serantau.
Beliau memberitahu pusat di Malaysia itu merupakan sebahagian daripada rangkaian antarabangsa eksklusif yang merangkumi Jerman, Switzerland, Dubai, Abu Dhabi, Kuwait dan Jepun.
Lokasinya serta infrastruktur logistik dan jaringan pengangkutan Malaysia membolehkannya memberikan perkhidmatan kepada pemilik kereta berprestasi ultra tinggi di seluruh rantau ini.
Sementara itu, Naib Presiden Perkhidmatan Pelanggan dan Pembangunan Rangkaian Mercedes-Benz Malaysia dan Asia Tenggara Edmin Naidoo menegaskan pusat itu dibina khas bagi memenuhi keperluan kejuruteraan dan penyelenggaraan khusus Mercedes-AMG ONE.
“Dilengkapi infrastruktur teknikal bertaraf kilang dari Affalterbach, pusat itu mempunyai peralatan khusus untuk sistem voltan tinggi, sistem diagnostik yang disesuaikan, keadaan penyimpanan terkawal serta hubungan teknikal langsung dengan pakar Mercedes-AMG di Jerman.
“Bagi memenuhi keperluan kejuruteraan unik kenderaan itu, bengkel berkenaan dilengkapi sistem pengangkat canggih yang dipasang pada kedalaman dua meter di bawah tanah dan direka untuk menampung beban seberat 1.6 tan.
"Ruang kerja bengkel yang kalis bunyi sepenuhnya itu juga mampu menahan bunyi enjin sehingga 120 desibel,” katanya.
Peralatan khusus dan sistem diagnostik di kemudahan itu direka bagi memastikan setiap kerja penyelenggaraan memenuhi piawaian teknikal ketat Mercedes-AMG.
Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng Consolidated Lee Weng Yew pula memaklumkan juruteknik di pusat Malaysia itu telah menjalani latihan intensif yang diiktiraf secara langsung oleh Mercedes-AMG.
“Juruteknik berkenaan turut mendapat sokongan daripada pasukan khusus yang dikenali sebagai ‘Flying Doctors’ yang menyediakan laporan diagnostik masa nyata dan bantuan teknikal bagi memastikan penyelenggaraan menyeluruh untuk pemilik kenderaan di seluruh Asia Tenggara,” tambahnya.
-- BERNAMA