BERITA TERKINI   Sukan Para Asia 2026: Perenang Muhammad Nur Syaiful Zulkafli pertahan emas 100m kuak dada lelaki SB4, pecah rekod temasya | Insentif RM700 seorang kepada pengamal media swasta berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak - Premier | Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri, RM700 untuk penjawat awam Persekutuan berkhidmat di Sarawak - Premier | Indonesia cadang kerjasama dengan Malaysia, iktiraf warisan Melayu termasuk tulisan Jawi di peringkat antarabangsa - Fahmi | Malaysia cadang penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Indonesia, perkukuh kerjasama industri dan ekonomi kreatif - Fahmi | 

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi, Kembali Lepasi Paras 1,600 Mata

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan indeks petunjuk pasaran kembali melepasi paras 1,600 disokong aktiviti membeli saham pada harga rendah secara terpilih, namun kenaikan terhad memandangkan minat belian tertumpu kepada saham teknologi bermodal kecil, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.69 mata, atau 0.16 peratus, kepada 1,602.27 berbanding paras penutup 1,599.58 pada Selasa.

Ad Banner

Indeks utama itu dibuka tinggi naik 3.83 mata kepada 1,603.41, iaitu paras intra hari tertingginya dan kemudiannya mencatatkan paras intra hari terendahnya pada 1,596.69 semasa sesi dagangan awal.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 626 berbanding 416, manakala 502 kaunter tidak berubah, 1,317 kaunter tidak diniagakan dan 20 kaunter digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.76 bilion unit bernilai RM2.58 bilion daripada 2.86 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Selasa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata firma itu berpendapat sentimen pasaran masih kekal berhati-hati, terutamanya memandangkan aktiviti penjualan oleh pihak asing masih belum mereda.

Bagaimanapun, beliau berkata asas ekonomi Malaysia masih kekal berdaya tahan manakala inflasi menyusut kepada 1.8 peratus pada September, sekali gus memberikan sedikit keyakinan berhubung tekanan harga dalam negara.

“Apa yang lebih penting penurunan pasaran baru-baru ini telah menjadikan penilaian saham mewah terpilih yang mempunyai asas kukuh lebih menarik, terutamanya syarikat yang mempunyai prospek perolehan kukuh serta hasil dividen mampan.

“Kami menjangkakan peningkatan peluang risiko-ganjaran untuk menggalakkan pengumpulan saham mewah terpilih sekali gus menyediakan sokongan untuk pasaran pulih secara beransur-ansur,” katanya kepada Bernama.

Rakuten Trade menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam jajaran 1,580–1,610 bagi tempoh berbaki minggu ini, walaupun perkembangan geopolitik mungkin mencetuskan ketidaktentuan sekali-sekala.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM7.94, Press Metal meningkat 11 sen kepada RM6.86, Maybank dan Public Bank kekal tidak berubah masing-masing pada RM9.95 dan RM4.73, CIMB susut satu sen kepada RM7.14 dan TNB turun lapan sen kepada RM12.98.

Dalam kalangan saham aktif, JAKS naik tiga sen kepada 17 sen, Ni Hsin meningkat setengah sen kepada 47.5 sen, NWE Resources yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE kekal tidak berubah pada 20 sen, manakala Zetrix AI susut setengah sen kepada lima sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Vitrox meningkat sebanyak 38 sen kepada RM10.68, UWC melonjak 34 sen kepada RM7.30, Hong Leong Bank naik 32 sen kepada RM21.52, dan Kuala Lumpur Kepong menokok 30 sen kepada RM20.08.

Dalam kalangan saham paling rugi, Nestle susut 66 sen kepada RM89.34, MISC turun 11 sen kepada RM8.30 manakala PTT Synergy dan Allianz Malaysia menyusut 10 sen masing-masing kepada RM1.30 dan RM19.30.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 melonjak 160.40 mata kepada 17,211.60, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 62.01 mata kepada 11,910.87, Indeks FBM Emas naik 48.26 mata kepada 11,955.86, Indeks FBM Top 100 menokok 43.0 mata kepada 11,754.43, manakala Indeks FBM ACE melonjak 94.15 mata kepada 5,380.63.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.01 mata kepada 175.39, Indeks Tenaga susut 1.65 mata kepada 821.23, Indeks Perladangan naik 34.98 mata kepada 8,620.12 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 49.71 mata kepada 18,608.69.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.47 bilion unit bernilai RM2.29 bilion, daripada 1.55 bilion unit bernilai RM2.13 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 815.43 juta unit bernilai RM115.24 juta daripada 826.56 juta unit bernilai RM94.64 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 471.79 juta unit bernilai RM167.58 juta daripada 481.75 juta unit bernilai RM186.42 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 201.69 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (254.02 juta), pembinaan (177.43 juta), teknologi (259.24 juta), perkhidmatan kewangan (88.79 juta), hartanah (132.32 juta), perladangan (40.23 juta), amanah pelaburan hartanah (13.53 juta), dana tertutup (44,200), tenaga (111.13 juta), penjagaan kesihatan (90.84 juta), telekomunikasi dan media (24.05 juta), pengangkutan dan logistik (52.18 juta), utiliti (31.70 juta), serta amanah perniagaan (8,300).

-- BERNAMA