BERITA TERKINI   Mahasiswa tidak wajar dijadikan alat atau mangsa propaganda politik - Zambry | Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026: Jaguh lompat jauh para Datuk Abdul Latif Romly sumbang emas ketiga Malaysia menerusi kategori T20 lelaki | Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026: Jaguh powerlifting para Bonnie Bunyau Gustin sumbang emas kedua Malaysia menerusi kategori bawah 72 kg lelaki | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Kenaikan Harga Minyak Mentah, Minyak Sayuran

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh harga minyak mentah dan minyak sayuran yang lebih kukuh.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent naik 1.14 peratus kepada US$110.69 setong.

Ad Banner

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata pengeluaran minyak sawit yang dijangka perlahan pada akhir tahun, ditambah dengan tenaga kerja yang terus berkurangan dan kemungkinan gangguan berkaitan fenomena El Niño pada 2027, memberi sokongan kepada harga minyak sawit.

“Sehubungan itu, kami melihat paras sokongan terdekat sekitar RM4,770 hingga RM4,785 satu tan, manakala paras rintangan dijangka pada RM4,800 hingga RM4,820 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Ng berkata kenaikan seterusnya mungkin terhad berikutan kebimbangan terhadap inventori minyak sawit yang meningkat dan pengeluaran minyak sawit Malaysia yang dijangka mencatat rekod tertinggi pada Oktober.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada penutup dagangan, kontrak November 2026 meningkat RM80 kepada RM4,595 satu tan, Disember 2026 menambah RM66 kepada RM4,732 satu tan dan Januari 2027 menokok RM51 kepada RM4,817 satu tan.

Sementara itu, kontrak Februari 2027 naik RM41 kepada RM4,898 satu tan, Mac 2027 melonjak RM32 kepada RM4,968 satu tan, manakala April 2027 bertambah RM24 kepada RM5,017 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 142,270 lot daripada 106,846 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 334,160 kontrak daripada 332,357 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan meningkat RM30 kepada RM4,560 satu tan.

-- BERNAMA