Ringgit Ditutup Mendatar Berbanding Dolar AS Menjelang Mesyuarat Fed
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Selasa dengan mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa ketika sentimen pelabur kekal berwaspada menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS pada minggu depan, kata penganalisis.
Pada 6 petang ini, ringgit di paras 4.0805/4.0845 berbanding dolar AS yang tidak berubah berbanding penutupan pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diniagakan dalam julat yang terhad hari ini susulan prestasi pasaran pertukaran mata wang asing di seluruh Asia yang bercampur-campur.
Jelas beliau, Indeks Dolar AS (DXY) susut apabila jangkaan pasaran bahawa pihak Fed menaikkan kadar faedah utama AS pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 27–28 Oktober, masih rendah.
“Bagaimanapun, pasaran kekal dengan unjuran bahawa Fed akan menaikkan kadar faedah pada Disember.
“Mungkin ini yang menyebabkan ringgit bergerak dalam julat terhad apabila pasaran menjangkakan dasar monetari Fed yang lebih ketat selepas ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama dunia.
Ini termasuk rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5803/2.5830 daripada 2.5790/2.5817 semalam, susut berbanding pound Britain kepada 5.4475/5.4528 daripada 5.4369/5.4422 dan turun berbanding euro kepada 4.5771/4.5816 daripada 4.5726/4.5771.
Ringgit ditutup bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Berbanding baht Thailand, ringgit mengukuh kepada 12.1241/12.1411 daripada 12.1451/12.1613 semalam, namun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1914/3.1950 daripada 3.1886/3.1920.
Unit tempatan itu turun berbanding rupiah Indonesia kepada 226.8/227.1 daripada 226.0/226.4 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada paras 6.47/6.48.
-- BERNAMA