SC Lanjut Tempoh Untuk Hasrat Penswastaan Yinson
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memberi tempoh lanjutan sehingga 30 Nov 2026 untuk Yinson Legacy Sdn Bhd (YLSB), MISC Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan hasrat mereka berhubung cadangan penswastaan Yinson Holdings Bhd.
Yinson Holdings melalui makluman kepada Bursa Malaysia berkata lanjutan itu diterima dalam satu surat pada 19 Okt lepas. Lanjutan tersebut akan membolehkan pihak-pihak terlibat agar menilai dan membincangkan skim yang dicadangkan..
“Skim yang dicadangkan itu tetap tertakluk kepada, antara lain, penilaian dan rundingan antara pihak-pihak berkenaan, pelaksanaan perjanjian muktamad, penentuan harga tawaran akhir selain apa-apa kelulusan serta syarat lain yang diperlukan.
“Oleh itu, tiada jaminan bahawa perbincangan itu akan membawa kepada atau menghasilkan pelaksanaan skim yang dicadangkan itu,” katanya.
Dalam makluman berasingan oleh MISC Bhd, syarikat itu memberitahu cadangan penswastaan penerima tawaran akan dilakukan melalui skim pengaturan di bawah Seksyen 366 Akta Syarikat 2016.
Ia juga menjelaskan pengumuman tersebut tidak membulatkan niat bagi menswastakan penerima tawaran (Yinson Holdings) dan tiada kepastian bahawa sebarang tawaran atau urus niaga akhirnya akan dibuat.
Pada 28 Ogos lepas, YLSB mencadangkan potensi penswastaan pada harga tawaran indikatif RM2.35 sesaham berikutan perbincangan awal dengan MISC, KWSP dan pemegang kepentingannya yang lain.
-- BERNAMA