Syarat Minimum 30 Peratus Ekuiti Bumiputera Diteruskan – Kementerian Ekonomi
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Syarat ekuiti Bumiputera pada tahap minimum 30 peratus diteruskan selaras dengan Garis Panduan Perolehan Hartanah (GPPH) yang berkuat kuasa mulai 13 Julai, 2022, dan ia tertakluk kepada kelulusan Kementerian Ekonomi.
Kementerian Ekonomi memaklumkan kerajaan sentiasa berusaha memastikan aset strategik negara, khususnya yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dapat menyumbang kepada agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera secara lebih berkesan.
“Cadangan peningkatan syarat ekuiti merupakan satu daripada instrumen dasar bagi memperluas penyertaan dan penguasaan Bumiputera ke atas hartanah strategik dan berimpak tinggi yang seterusnya dapat menyokong dalam agenda pembangunan sosioekonomi negara,” menurut kementerian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai rasional peningkatan kuota ekuiti Bumiputera bagi syarikat swasta yang terlibat dalam pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta oleh GLC dan GLIC dinaikkan kepada 50 peratus, nilai urusan terlibat selepas peraturan baharu ditetapkan dan membolehkan kuota ekuiti Bumiputera ini dikembalikan kepada 30 peratus.
Kementerian itu berkata setelah mengambil kira pandangan pihak berkepentingan dan langkah semakan semula terhadap cadangan pelaksanaan syarat berkenaan, kerajaan telah memutuskan supaya pelaksanaannya dibuat melalui langkah pentadbiran bagi memastikan semua GLC dan GLIC melaksanakan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.
“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan dasar berkaitan perolehan dan pelupusan hartanah serta menilai keberkesanan instrumen yang digunakan dari semasa ke semasa untuk memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dapat dicapai secara berkesan, di samping mengambil kira perkembangan ekonomi dan keperluan semasa,” tambahnya.
-- BERNAMA