BERITA TERKINI   Jajaran baharu menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan Kompleks CIQ Sadao, Thailand, akan bantu merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua wilayah - PM Anwar  | PRN Johor: Poster fizikal kempen tidak gambarkan calon sebenar perlu diturunkan - SPR | PRN Johor: 43,036 petugas digerakkan esok, pastikan proses pengundian teratur | PRN Johor : SPR jangka peratusan keluar mengundi esok capai 70 peratus | 

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Sedikit Susulan Pengambilan Untung Sederhana

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana oleh pelabur selepas pasaran tempatan meningkat baru-baru ini, sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang lebih perlahan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.60 mata kepada 1,682.93 daripada 1,683.53 ketika ditutup pada Isnin.

Ad Banner

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 0.11 mata kepada 1,683.42 dan bergerak dalam julat 1,676.94 hingga 1,684.19 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 577 berbanding 410 manakala 573 kaunter tidak berubah, 1,091 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung pasaran.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.69 bilion unit bernilai RM2.06 bilion daripada 2.68 bilion unit bernilai RM1.69 bilion pada Isnin.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati walaupun mendapat petunjuk positif daripada prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman.

“Penurunan pasaran hari ini dilihat sebagai konsolidasi yang normal, bukannya perubahan arah sentimen. Indeks petunjuk pasaran terus stabil melebihi paras terendah baru-baru ini, menunjukkan pemulihan pasaran dalam jangka pendek masih kekal.

“Pada masa depan, pasaran dijangka terus disokong oleh ketegangan geopolitik yang semakin reda, harga tenaga yang lebih sederhana serta minat risiko global yang kekal berdaya tahan," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.92, CIMB turun satu sen kepada RM7.60, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing tidak berubah pada RM4.91 dan RM14.30 manakala IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM8.38.

Bagi saham paling aktif, RNG Tech yang baru disenaraikan di Pasaran ACE kekal tidak berubah pada 13 sen, Zetrix AI dan Tanco masing-masing susut setengah sen kepada 75.5 sen dan 18 sen, Asdion merosot 1.5 sen kepada 0.5 sen manakala Efficient E-Solutions naik 1.5 sen kepada 11.5 sen.

Antara kaunter paling untung, Fraser & Neave meningkat 56 sen kepada RM29.66, Batu Kawan naik 32 sen kepada RM21.50, Petronas Gas menokok 30 sen kepada RM17.80, United Plantations menambah 24 sen kepada RM33.74 manakala Hong Leong Bank menokok 16 sen kepada RM21.96.

Bagi kaunter paling rugi, Allianz Malaysia susut 50 sen kepada RM20.60, Dutch Lady Milk turun 40 sen kepada RM32.00, Vitrox berkurangan 15 sen kepada RM7.48, PPB menyusut 14 sen kepada RM9.36 manakala ITMax berkurangan 12 sen kepada RM4.76.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 9.93 mata kepada 12,462.79, Indeks FBMT 100 turun 8.73 mata kepada 12,292.91, Indeks FBM Emas Syariah merosot 3.27 mata kepada 12,284.35, Indeks FBM ACE berkurangan 18.72 mata kepada 4,874.15 manakala Indeks FBM 70 susut 31.04 mata kepada 17,774.60.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 1.84 mata kepada 761.33, Indeks Perladangan naik 34.09 mata kepada 9,041.88 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 6.46 mata kepada 19,927.96 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.16 mata kepada 181.20.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.20 bilion unit bernilai RM1.76 bilion berbanding 1.06 bilion unit bernilai RM1.36 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 940.84 juta unit bernilai RM136.91 juta berbanding 1.04 bilion unit bernilai RM141.68 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 552.24 juta unit bernilai RM156.24 juta daripada 571.10 juta unit bernilai RM193.68 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 201.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (230.47 juta), pembinaan (78.28 juta), teknologi (218.11 juta), perkhidmatan kewangan (48.44 juta), hartanah (176.76 juta), perladangan (26.67 juta), amanah pelaburan hartanah (16.20 juta), dana tertutup (1.6 juta), tenaga (60.82 juta), penjagaan kesihatan (70.59 juta), telekomunikasi dan media (21.02 juta), pengangkutan dan logistik (25.15 juta), utiliti (20.24 juta), dan amanah perniagaan (105,200).

Sementara itu, menurut Bursa Malaysia, dagangan saham Enest Group Bhd akan digantung berkuat kuasa 9 pagi, Jumaat, 10 Julai 2026.

Bursa Malaysia dalam makluman hari ini memaklumkan, keseluruhan saham terbitan Enest Group akan dikeluarkan daripada Pasaran LEAP berkuat kuasa 9 pagi, Rabu, 15 Julai 2026 bagi memudahkan pemindahannya ke Pasaran ACE.

-- BERNAMA