Bursa Malaysia Dibuka Tinggi, Atasi Prestasi Bursa Serantau

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, mengatasi prestasi di Wall Street yang perlahan dalam tempoh semalaman dan dagangan bercampur-campur di seluruh pasaran serantau.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.42 mata atau 0.38 peratus kepada 1,689.35 daripada 1,682.93 semasa ditutup pada Selasa.

Ad Banner

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 3.05 mata kepada 1,685.98.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 158 berbanding 151 manakala 293 kaunter tidak berubah, 2,069 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 135.87 juta saham bernilai RM73.73 juta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah semalaman berikutan pelabur mengurangkan pegangan disebabkan kebimbangan bahawa jangkaan pasaran telah meningkat lebih cepat berbanding prestasi asas ekonomi dan syarikat.

Beliau berkata aktiviti jualan saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) juga semakin meningkat.

"Serangan baharu di Selat Hormuz juga telah mendorong kenaikan harga minyak, dengan minyak mentah Brent meningkat kepada sekitar US$74 setong manakala hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat bagi tempoh 10 tahun naik sedikit kepada 4.551 peratus.

"Sementara itu, Indeks Hang Seng Hong Kong susut di bawah paras 23,500 berikutan aktiviti jualan semula saham berkaitan AI," katanya kepada Bernama.

Dalam negara, Thong menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,680 hingga 1,690 mata berikutan aktiviti pasaran diunjur kekal sederhana.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 12 sen kepada RM11.04, CIMB naik tujuh sen kepada RM7.67 dan Public Bank menambah dua sen kepada RM4.93. Tenaga Nasional kekal pada RM14.30 manakala IHH Healthcare susut empat sen kepada RM8.34.

Bagi saham aktif, Mestron meningkat 1.5 sen kepada 12 sen manakala Pentech, Lotus KFM dan GIIB masing-masing naik satu sen kepada 29 sen, 11 sen dan 51 sen. AirAsia X pula susut dua sen kepada RM1.16.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Allianz Malaysia meningkat 28 sen kepada RM20.88, Malaysian Pacific Industries naik 18 sen kepada RM46.02 manakala Sarawak Oil dan Hong Leong Bank masing-masing menambah lapan sen kepada RM4.97 dan RM22.04.

Press Metal Aluminium mendahului kaunter paling rugi apabila susut lapan sen kepada RM7.59 manakala UWC, SAM Engineering, Unisem dan Frontken masing-masing turun lima sen kepada RM6.25, RM4.92, RM4.53 dan RM4.80.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 38.92 mata kepada 12,501.71, Indeks FBMT 100 naik 39.96 mata kepada 12,332.87, Indeks FBM Emas Syariah menokok 14.10 mata kepada 12,298.45 dan Indeks FBM 70 meningkat 27.99 mata kepada 17,802.59.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE susut 15.73 mata kepada 4,858.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 131.26 mata kepada 20,059.22, Indeks Tenaga naik 5.47 mata kepada 766.80, Indeks Perladangan menambah 2.53 mata kepada 9,044.41 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.20 mata kepada 181.40.

-- BERNAMA