BNM Dijangka Kekal OPR Pada 2.75 Peratus Susulan Inflasi Terkawal, Pertumbuhan Kukuh - Kenanga IB
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026 berikutan inflasi terkawal dan pertumbuhan ekonomi domestik yang berdaya tahan, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Menurut Kenanga IB dalam nota penyelidikan hari ini, berikutan tekanan harga yang semakin perlahan, inflasi dijangka berada pada purata sekitar 2.1 peratus pada 2026 walaupun gangguan di Selat Hormuz kekal sebagai risiko yang boleh menyebabkan kenaikan melalui kos bahan api import, baja dan logistik.
"Permintaan dalam negara yang berdaya tahan, pertumbuhan yang menjejaki paras tertinggi dalam julat unjuran kami iaitu 4.5 peratus-5.0 peratus serta inflasi asas yang terkawal membolehkan BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus sepanjang 2026.
“Kami menjangkakan kestabilan dasar akan terus menjadi keutamaan, dengan inflasi yang didorong oleh faktor bekalan, ringgit yang berdaya tahan serta ruang dasar yang mencukupi sekali gus membolehkan BNM mengambil pendekatan berhati-hati terhadap kejutan sementara,” menurutnya.
Bank pelaburan itu turut mengekalkan unjuran positif bagi prospek jangka sederhana ringgit, dengan menjangkakan unit tempatan mengukuh kepada RM3.95 berbanding dolar AS menjelang akhir 2026 dan RM3.90 menjelang akhir 2027.
Menurutnya pengukuhan ringgit ini lebih banyak disokong oleh trend kelemahan dolar AS secara lebih meluas berbanding jangkaan hala tuju dasar monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.
Kenanga IB memaklumkan, asas ekonomi domestik kekal menyokong, dengan deposit mata wang asing mencecah rekod RM316 bilion pada Mei, sekali gus mencerminkan potensi besar penukaran dana asing kepada ringgit dari semasa ke semasa.
Menurutnya, walaupun perkembangan terkini menunjukkan gencatan senjata di Asia Barat masih tidak stabil, kedua-dua pihak masih mempunyai kepentingan untuk mengekalkannya, namun menjangkakan pelanggaran gencatan senjata berlaku sekali-sekala tanpa menjejaskan keseluruhan kerangka.
-- BERNAMA