HLIB Naikkan Unjuran Purata Harga MSM 2026, 2027 Kepada RM4,450, RM4,300 Setiap Tan

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menaikkan unjuran purata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi 2026 dan 2027 sebanyak RM100 setiap tan kepada masing-masing RM4,450 dan RM4,300 setiap tan.

Dalam satu nota penyelidikan, bank pelaburan itu menjelaskan unjuran harga berkenaan mencerminkan peningkatan kebarangkalian berlakunya fenomena El Nino serta pelaksanaan mandat biodiesel B50 oleh Indonesia.

Ia menyatakan bahawa potensi berlakunya El Nino memberi risiko kepada pengeluaran minyak sawit dan menyokong pengukuhan harga.

Ad Banner

Menurutnya, kesan El Nino terhadap pengeluaran minyak sawit biasanya perlahan dan selalunya hanya kelihatan 12 hingga 24 bulan selepas fenomena tersebut berlaku.

Jelasnya ia akan memberi kesan seperti tekanan kelembapan yang menjejaskan hasil buah tandan segar (BTS) dan harga MSM kebiasaannya akan bertindak balas lebih awal.

"Ini mencerminkan sifat pasaran yang memandang ke hadapan, terutamanya jika fenomena tersebut berkembang menjadi peristiwa yang lebih teruk serta berpanjangan sehingga mengakibatkan kekurangan taburan hujan yang ketara di wilayah pengeluaran utama di Indonesia dan Malaysia," katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, HLIB menyatakan rancangan pelaksanaan mandat biodiesel B50 oleh Indonesia (bermula 1 Julai, 2026) dijangka menyediakan saluran permintaan tambahan yang ketara bagi minyak sawit.

Ia menjelaskan campuran biodiesel yang lebih tinggi akan meningkatkan jumlah biodiesel berasaskan sawit yang diperlukan untuk penggunaan diesel domestik sekali gus menyerap sebahagian besar daripada pengeluaran minyak sawit Indonesia.

"Impaknya boleh menjadi sangat ketara memandangkan saiz pasaran diesel domestik Indonesia yang besar.

"Jika pelaksanaannya dilakukan secara meluas seperti yang dirancang, B50 boleh mengurangkan jumlah minyak sawit yang tersedia untuk eksport selain mengurangkan lebihan bekalan global berbanding permintaan," katanya.

Sementara itu, HLIB mengunjurkan paras harga MSM semasa dapat dikekalkan sehingga separuh kedua  2026 dengan potensi untuk peningkatan selanjutnya, dipacu oleh gabungan faktor pemangkin daripada aspek penawaran dan permintaan.

Bank pelaburan itu menyatakan pasaran minyak sawit global berpotensi kekal mengalami kekurangan penawaran secara struktur sekiranya risiko cuaca, gangguan bekalan baja dan dasar biodiesel Indonesia berlaku secara serentak.

"Situasi ini boleh berlaku ketika mandat campuran biodiesel Indonesia yang lebih tinggi dijangka menyerap bahagian bekalan minyak sawit yang lebih besar," katanya, sambil mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor berkenaan.

“Kami terus memilih syarikat perladangan yang mempunyai operasi huluan secara dominan serta pendedahan lebih besar kepada operasi di Malaysia.

"Ini memandangkan syarikat-syarikat tersebut mempunyai keupayaan pendapatan yang lebih tinggi untuk memanfaatkan pengukuhan harga MSM dan kurang terdedah kepada risiko kawal selia serta dasar luar negara,” jelasnya.

-- BERNAMA