BERITA TERKINI   Had umur persaraan penjawat awam kekal 60 tahun, tiada keperluan untuk peningkatan - Fahmi | Kementerian Pertahanan henti serta-merta perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway - Fahmi | Caruman LINDUNG 24 Jam tidak mandatori, dilaksanakan sukarela berkuat kuasa serta-merta - Fahmi | PM lulus lanjutan tempoh kelulusan pelepasan cukai TAR UMT untuk 10 tahun, kekal tertakluk semakan pematuhan sepanjang berkuat kuasa - Fahmi | 

Bank-bank Perlu Beralih Kepada Pelaksanaan Boleh Dipercayai Daripada Sekadar Guna Pakai AI

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Wujud keperluan dalam kalangan institusi perbankan untuk beralih daripada sekadar mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) kepada pelaksanaan AI yang dipercayai, disokong oleh tadbir urus, jaminan, daya tahan dan bakat yang lebih kukuh serta bersedia menghadapi masa depan.

AICB dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa ketika meneruskan transformasi di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan, institusi perbankan giat mempercepatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sambil mengharungi landskap kawal selia yang semakin berkembang, risiko siber, peralihan iklim serta ketidaktentuan geopolitik.

“Bagi menangani keutamaan ini, Persidangan Perbankan Malaysia Ke-4 (MBC 4.0) dan Persidangan Audit Bank Ke-2 (BAC 2.0) anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) telah menghimpunkan lebih 1,000 pemimpin sektor perbankan, audit dan kawal selia untuk membincangkan bagaimana industri dapat membina kepercayaan dan daya tahan sambil memanfaatkan sepenuhnya potensi AI,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner

Persidangan MBC 4.0 dan BAC 2.0 berlangsung dari 7 hingga 8 Julai 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Dianjurkan oleh Kumpulan Rangkaian Ketua Juruaudit Dalaman (CIANG) AICB, Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) dan Asian Banking School (ABS), persidangan tersebut diadakan di bawah satu platform dengan tema masing-masing iaitu “Banking Reimagined: AI, Trust and the Future of Finance dan Audit Reimagined: Innovation, Trust and the Future of Assurance.”

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Perbincangan sepanjang persidangan memberi tumpuan kepada peranan penting AI, tadbir urus, keselamatan siber, kemampanan dan transformasi tenaga kerja dalam membentuk masa depan sektor perbankan serta fungsi jaminan,” menurut AICB.

Satu pencapaian penting pada persidangan ini ialah pelancaran laporan “AICB-Ecosystm AI in Practice: How Malaysia’s Banks & DFIs are Adopting and Governing AI”, dibangunkan hasil kerjasama antara AICB, Ecosystem dan Forum Ketua Pegawai Risiko AICB.

“Berdasarkan maklum balas daripada hampir 90 pemimpin kanan daripada bank perdagangan, bank digital dan institusi kewangan pembangunan di Malaysia, laporan ini menyediakan penanda aras industri yang menyeluruh mengenai penggunaan AI, tahap kesiapsiagaan organisasi serta amalan tadbir urus dalam sektor perbankan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Laporan tersebut mendapati bahawa AI kini telah digunakan dalam pelbagai bidang seperti proses Know Your Customer (KYC), pengesanan penipuan, Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT), serta peningkatan produktiviti pekerja. Walau bagaimanapun, hanya 25 peratus daripada responden menyatakan mereka mempunyai keyakinan yang mencukupi terhadap output yang dijana AI untuk digunakan dalam membuat keputusan perniagaan yang penting.

“Penemuan ini menunjukkan industri kini sedang melalui peralihan penting daripada fasa eksperimen AI kepada pelaksanaan pada skala yang lebih bertanggungjawab, dengan kepercayaan, tadbir urus dan jaminan muncul sebagai pemacu utama kejayaan jangka panjang,” menurut AICB.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menyampaikan ucaptama khas menteri berkata: “Rangka Kerja Tadbir Urus AI dibangunkan oleh Forum Ketua Pegawai Risiko AICB, dengan sokongan BNM serta pengiktirafan daripada Persatuan Bank-Bank di Malaysia, mencerminkan jenis inisiatif diterajui oleh industri yang amat diperlukan oleh sektor perbankan pada hari ini.

“Ia bukanlah satu arahan daripada kerajaan mengenai bagaimana bank perlu mengguna pakai AI. Sebaliknya, ia memperlihatkan industri perbankan sendiri mengambil inisiatif untuk menetapkan piawaian, prinsip dan tanggungjawabnya. Di situlah lahirnya kepercayaan, dibina dari dalam sistem itu sendiri, bukannya sekadar dikenakan dari luar,” katanya.

Sementara itu. Abdul Rasheed Ghaffour dalam ucapannya berkata: “Inovasi bukan sekadar mengenai penggunaan teknologi, malah turut melibatkan kepimpinan dan tadbir urus bagi memastikan sistem kewangan yang kita bina terus diyakini serta kekal berteraskan keperluan masyarakat.”

Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim berkata ketika industri perbankan mengguna pakai AI dan teknologi baharu muncul, pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat dan kecemerlangan profesional amat penting untuk membina institusi yang berdaya tahan serta mengekalkan keyakinan awam.

“Melengkapkan profesional perbankan dengan keupayaan yang tepat akan membolehkan industri merebut peluang masa hadapan dan mengurus risiko baharu dengan lebih yakin,: katanya.

Persidangan berkenaan turut mengukuhkan komitmen AICB dalam melahirkan profesional perbankan yang bersedia menghadapi masa hadapan melalui inisiatif seluruh industri seperti Future Skills Framework (FSF) dan FSF Xcel.

Dibangunkan dengan kerjasama pihak berkepentingan industri, FSF mengenal pasti keupayaan dan kompetensi kritikal yang diperlukan bagi menyokong masa depan sektor perbankan, di samping memperkukuh daya tahan, daya saing dan kebolehpercayaan sektor kewangan Malaysia untuk jangka panjang, menurut kenyataan itu.

Ketika institusi perbankan di seluruh rantau berhadapan dengan cabaran yang sama berkaitan tadbir urus AI, daya tahan siber, risiko iklim dan kesiapsiagaan bakat, MBC 4.0 dan BAC 2.0 anjuran AICB telah menjadi pemangkin kepada dialog strategik, kerjasama rentas industri serta perkongsian perspektif berpandangan jauh.

Persidangan berkenaan membolehkan sektor kewangan Malaysia menangani isu-isu kritikal, memperkukuh standard profesional dan membangunkan penyelesaian praktikal bagi menghadapi landskap kewangan global yang semakin kompleks.

Sebagai badan profesional terkemuka bagi sektor perbankan Malaysia, AICB kekal komited dalam memajukan kecemerlangan pendidikan profesional perbankan, membangunkan generasi baharu bakat perbankan serta memupuk kepimpinan pemikiran yang menyokong sektor kewangan yang inovatif, berdaya saing dan dipercayai.

-- BERNAMA