Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Selepas Harga Minyak Mentah Mengukuh
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini selepas dipacu oleh pengukuhan harga minyak mentah berikutan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat.
Editor dan penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan minyak sawit ditutup tinggi hari ini, dengan minat belian didorong oleh lonjakan harga minyak mentah selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran susulan serangan negara itu ke atas kapal di Selat Hormuz.
"Pasaran telah mengetepikan sebahagian besar jangkaan pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi sehingga Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengeluarkan data Jun pada Jumaat ini.
"Pengeluaran dijangka melonjak, dengan anggaran peningkatan antara tujuh hingga 12 peratus mulai Mei, dan semua keadaan ini sudah diambil kira," katanya kepada Bernama.
Selain kenaikan harga minyak mentah, Sathia berkata harga MSM dalam tempoh terdekat juga akan dipengaruhi oleh prestasi minyak sayuran pesaing, pergerakan ringgit berbanding dolar US dan permintaan eksport Malaysia.
Sementara itu, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata harga tenaga yang lebih tinggi mungkin akan meningkatkan permintaan untuk biodiesel, sekali gus merangsang penggunaan minyak sawit.
“Kami melihat harga disokong melebihi paras RM4,500 satu tan dan rintangan pada RM4,700 satu tan,” katanya.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Julai 2026 naik sebanyak RM20 kepada RM4,503 satu tan, Ogos 2026 mengukuh RM56 kepada RM4,572 dan September 2026 melebar RM62 kepada RM4,609.
Oktober 2026 menambah RM64 kepada RM4,637 satu tan, November 2026 adalah RM67 lebih baik kepada RM4,668 dan Disember 2026 menyaksikan kenaikan sebanyak RM69 kepada RM4,694.
Jumlah dagangan mengukuh kepada 96,582 lot berbanding 77,606 lot yang dicatatkan pada Selasa, manakala kepentingan terbuka susut kepada 288,327 kontrak daripada 289,701 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan menokok sebanyak RM25 kepada RM4,530 setan.
-- BERNAMA