BERITA TERKINI   Malaysia-Thailand selesaikan isu perikanan tertunggak, setuju percepat pelaksanaan memorandum dalam tempoh seminggu - Anwar | Malaysia-Thailand setuju teruskan zon ekonomi khas sempadan, permudah urusan imigresen dan kastam - Anwar | PRN Johor: SPRM terima tiga maklumat termasuk satu dakwaan rasuah melibatkan calon di Batu Pahat - KP SPRM | Op Agam: SPRM terima maklumat pemilikan, pemindahan hartanah mewah bernilai RM59 juta dipercayai berkait 1MDB - KP SPRM | Op Daya: SPRM tahan 98 individu, buka 81 kertas siasatan dan rakam keterangan 724 saksi - KP SPRM | 

MATRADE Pelawa Syarikat Tempatan Sertai Program Padanan Perniagaan MIHAS 2026

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempelawa syarikat tempatan mendaftar bagi menyertai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Ke-22 2026.

Acara itu akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 23 hingga 26 Sept depan.

MATRADE dalam kenyataan hari ini berkata kejayaan INSP MIHAS 2025 yang menjana jualan sebanyak RM3.63 bilion meningkatkan minat pembeli antarabangsa untuk menyertai edisi 2026.

Ad Banner

Selain segmen makanan dan minuman halal, edisi kali ini turut menyaksikan peningkatan minat terhadap sektor perkhidmatan, katanya.

Program INSP MIHAS menghubungkan pembeli antarabangsa yang telah disaring dengan pengeksport Malaysia menerusi sesi padanan perniagaan secara bersemuka yang diatur lebih awal merangkumi pelbagai sektor halal utama.

"Berikutan slot pertemuan dengan pembeli adalah terhad dan diperuntukkan menerusi proses padanan berstruktur, syarikat Malaysia digalakkan mendaftar lebih awal melalui portal dalam talian," katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata agensi itu menyasarkan jualan eksport sebanyak RM2 bilion menerusi INSP MIHAS 2026.

"Pada tahun ini, kami menyasarkan penyertaan kira-kira 300 pembeli, termasuk 50 pembeli premium, bagi menarik pembuat keputusan berkualiti tinggi sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat Malaysia.

"Sehingga kini, lebih 500 pembeli antarabangsa dari 55 ekonomi menyatakan minat untuk menyertai program ini dan kami menggalakkan syarikat Malaysia mendaftar lebih awal bagi memaksimumkan peluang padanan perniagaan," katanya.

Sejak MIHAS diperkenalkan pada 2004, komponen INSP menjana lebih RM20.62 bilion jualan eksport, memberi manfaat kepada lebih 10,600 syarikat Malaysia menerusi 67,200 sesi padanan perniagaan berstruktur yang melibatkan hampir 8,000 pembeli antarabangsa.

Menurut Abu Bakar, MIHAS 2026 dijangka menjana jumlah jualan sebanyak RM4.50 bilion, termasuk jualan eksport menerusi INSP.

"Setakat ini, 15 peratus daripada pembeli yang menyatakan minat merupakan pembeli berulang, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pengeksport Malaysia serta nilai yang terus ditawarkan mereka di pasaran global," katanya.

INSP MIHAS 2026 akan menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan daripada sektor seperti hasil pertanian, pakaian dan tekstil, minuman, pendidikan, aksesori fesyen dan tekstil, kasut, francais, hadiah dan barang kemas, sarung tangan, teknologi maklumat dan komunikasi.

Selain itu, turut serta dalam program itu perkhidmatan kewangan Islam, logistik, jentera dan peralatan, pembungkusan, produk sawit, produk haiwan peliharaan, farmaseutikal, makanan sedia dimakan serta kelengkapan dandanan diri dan kosmetik.

Pendaftaran bagi program INSP MIHAS 2026 dibuka sehingga 31 Julai menerusi portal dalam talian INSP MIHAS dan Platform Perdagangan Digital MADANI.

-- BERNAMA