BERITA TERKINI   Jajaran baharu menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan Kompleks CIQ Sadao, Thailand, akan bantu merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua wilayah - PM Anwar  | PRN Johor: Poster fizikal kempen tidak gambarkan calon sebenar perlu diturunkan - SPR | PRN Johor: 43,036 petugas digerakkan esok, pastikan proses pengundian teratur | PRN Johor : SPR jangka peratusan keluar mengundi esok capai 70 peratus | 

Pelaksanaan AI Yang Bertanggungjawab Penting Demi Masa Depan Tenaga Kerja Perbankan Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 (Bernama) -- Sektor perbankan Malaysia sedang mengatur kedudukannya secara strategik untuk memperkukuh penerajuan dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab.

Usaha itu seiring dengan teknologi yang memasuki fasa baharu definitif apabila kejayaan industri kewangan tidak lagi dinilai berdasarkan kelajuan penggunaan teknologi, sebaliknya berasaskan kematangan dan tanggungjawab terhadap pelaksanaannya.

Memandangkan institusi kewangan menghadapi landskap yang ditentukan oleh automasi yang pesat dan risiko sistemik yang timbul, kalangan pemimipin industri di Persidangan Perbankan Malaysia Keempat (MBC 4.0) dan Persidangan Audit Bank Kedua (BAC 2.0) anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) menekankan bahawa langkah mengekalkan kelebihan daya saing akan banyak bergantung kepada gabungan kerjasama rentas sektor, pembangunan tenaga kerja yang berterusan dan kerangka tadbir urus yang teguh.

Ad Banner

 

Elemen Manusia: Membina Modal Kepercayaan

Ketua Eksekutif AICB, Edward Ling berkata walaupun penggunaan AI meluas bagi seluruh industri perbankan namun, kepercayaan awam dan institusi kekal sebagai pembeza utama bagi hab kewangan terkemuka.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Penggunaan AI bukan lagi pilihan, sebaliknya penggunaan AI sudah berlaku bagi seluruh industri. Persoalan penting adalah kepercayaan. Siapa yang mengurus data, menyelia risiko dan memastikan akauntabiliti? Akhirnya, jawapan adalah manusia.

“Masa depan perbankan tidak akan direalisasikan oleh teknologi sahaja, malah juga oleh profesional yang tahu cara menggunakan AI secara bertanggungjawab,” katanya di meja bulat media.

Beliau berkata 79 peratus institusi kewangan melaporkan kekurangan bakat teknikal AI yang ketara.

Pembinaan kapasiti tidak wajar lagi dilihat sebagai fungsi modal insan yang sendirian sebaliknya perlu dititikberatkan sebagai kewajipan perniagaan strategik, katanya.

Ling berkata walaupun AI mempunyai potensi untuk mengautomasikan tugas, menambah baik langkah dalam membuat keputusan serta meningkatkan pengalaman pelanggan namun, nilainya hanya dapat direalisasikan sepenuhnya jika pekerja memahami cara menggunakan AI dan bekerja secara berkesan di samping teknologi.

“Peningkatan kemahiran tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai inisiatif modal insan. Usaha itu mesti diterapkan dalam strategi perniagaan organisasi kerana memberi kesan langsung kepada produktiviti, daya saing, pengurusan risiko dan akhirnya, kepercayaan.

“Tumpuan perlu diberikan kepada usaha menjadikan pembelajaran praktikal dan berterusan -- bukan sekadar menghantar pekerja menjalani kursus latihan, tetapi juga membantu mereka menggunakan kemahiran baharu dalam kerja seharian, menyelesaikan cabaran perniagaan sebenar dan menambah baik proses,” katanya.

Beliau berkata pembinaan kapasiti adalah penting.

“Dalam perbankan, kita sering mengatakan modal adalah penting, tetapi modal insan mungkin merupakan modal yang paling penting,” katanya.

 

Melangkaui Fasa Rintis

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Addo AI, Singapura, Dr Ayesha Khanna berkata organisasi yang ingin mengembangkan AI merentas perniagaan masing-masing perlu melangkaui projek rintis terpencil.

Beliau berkata organisasi perlu menerima guna strategi seluruh perusahaan yang berdisiplin dan selaras dengan objektif perniagaan teras.

Penceramah bagi MBC 4.0 AICB itu berkata banyak syarikat masih belum berjaya melangkaui fasa pembuktian konsep (POC) justeru menggesa perniagaan untuk mempercepat peralihan daripada eksperimen kepada penggunaan.

“Ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai maklumat perlu mengenal pasti tiga hingga lima keutamaan strategik yang dapat meningkatkan keuntungan, pertumbuhan perniagaan dan peluasan pasaran secara signifikan dan hanya menumpukan pelaksanaan kes penggunaan AI yang secara langsung menyokong objektif berkenaan,” katanya.

Satu lagi faktor penting yang membezakan kejayaan organisasi menerimaguna AI adalah kesediaan untuk membentuk semula aliran kerja perniagaan dan bukan sekadar pengautomasian proses sedia ada, katanya.

Khanna berkata organisasi juga perlu aktif melibatkan pekerja dalam proses transformasi, menggalakkan mereka mengenal pasti usaha penambahbaikan operasi serta peluang inovasi berbanding hanya semata-mata menumpukan aspek pengautomasian.

“Jika mereka menganggap pekerjaan mereka terancam, mereka pasti akan turut serta (dalam usaha penambahbaikan),” katanya.

 

Tadbir Urus Ketat Beri Kelebihan Daya Saing

Sementara itu, Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Kumpulan AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) Malini Kanesamoorthy berkata sebagai institusi dikawal selia secara ketat, bank-bank perlu melangkaui tanggapan bahawa AI sekadar trend teknologi.

Mereka sebaliknya perlu mengamalkan pemikiran “AI-first” (Dahulukan AI) serta disokong oleh tadbir urus, pengurusan risiko yang dikemas kini selain komitmen kepimpinan.

Beliau yang juga Pengerusi Forum Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat  AICB berkata organisasi perlu meneliti semula rangka kerja tadbir urus, metrik kawalan risiko, minat atau kecenderungan risiko serta tahap toleransi risiko bagi mencerminkan peranan AI yang kian berkembang dalam operasi perbankan dan bukan bertindak mewujudkan dasar AI yang berasingan.

“AI sudah wujud sekarang dan semakin disepadukan dalam operasi perniagaan. (Sehubungan itu), kita perlu memperkukuh rangka kerja tadbir urus bagi memastikannya seiring dengan kadar penerimagunaan AI selain berhati-hati dalam menentukan sejauh mana mahu memanfaatkan teknologi ini.

“Sokongan padu daripada barisan kepimpinan kanan menjadi teras dalam memacu penerimagunaan AI, namun pada masa sama bank-bank juga perlu menangani ketangkasan tenaga kerja dengan meningkatkan aspek celik AI selain membantu pekerja memahami bahawa AI disasarkan untuk melengkapkan dan bukan mengambil alih peranan manusia,” katanya.

Malini turut menekankan aspek perlindungan pelanggan serta mengekalkan daya tahan sistem kekal menjadi keutamaan, malah teknologi pengesanan ancaman berasaskan AI sudah diterapkan dalam platform keselamatan siber bank itu bagi tempoh yang lama.

Beliau berkata AmBank turut bekerjasama erat dengan pihak pengawal selia seperti Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia selain penyepaduan pertimbangan berkaitan AI dalam rantaian bekalan bagi rangka kerja pengurusan risiko pihak ketiga.

-- BERNAMA