BERITA TERKINI   Empat lagi lapangan terbang Indonesia ditutup sementara kerana abu gunung berapi merebak, penutupan Soekarno-Hatta dilanjutkan - Kementerian Pengangkutan | Lebih 600 anak Orang Asli lanjut pengajian di universiti dan kolej seluruh negara, bukti kerajaan pentingkan pendidikan - TPM Ahmad Zahid | Operasi pembenihan awan di Sarawak diteruskan ikut nasihat MetMalaysia - TPM Ahmad Zahid | Perwakilan wanita dalam Parlimen masih terlalu rendah - Teo | Wanita DAP cadang dana insentif, undang-undang kesamarataan jantina untuk tingkat penyertaan wanita dalam politik - Teo | 
Ad Banner

Unit Hartanah Kenyalang Raih Kontrak Wisma JKR Sarawak Bernilai RM283.9 Juta

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Hartanah Kenyalang Bhd memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM283.9 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan bangunan dan infrastruktur itu menyatakan anak syarikat milik penuhnya, Hartanah Construction Sdn Bhd menerima surat lantikan daripada JKR Sarawak untuk membina Wisma JKR Sarawak di Kuching.

Ia memaklumkan kontrak tersebut merupakan kontrak terbesar yang pernah diperoleh Hartanah Construction setakat ini.

Ad Banner

“Tempoh kontrak selama 30 bulan dan projek itu dijadualkan bermula pada 23 Julai, 2026.

“Jika tiada sebarang keadaan yang tidak dijangka, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Okt, 2026 serta sehingga projek itu siap,” jelasnya.

Dalam kenyataan berasingan, Hartanah Kenyalang menyatakan struktur Wisma JKR sedia ada akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks baharu itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pembinaan berkenaan akan merangkumi sebuah menara utama 21 tingkat, tempat letak kereta tiga tingkat dan bangunan-bangunan tambahan yang lain.

“Bangunan-bangunan ini akan menyepadukan reka bentuk lestari, sistem yang cekap dan ciri-ciri mesra alam ke dalam pemodelan maklumat bangunan (BIM) ke arah mencapai pensijilan bangunan hijau,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang Seah Boon Tiat berkata syarikat itu akan bekerjasama rapat dengan JKR dalam merealisasikan visi dan aspirasi mereka.

“Wisma JKR Sarawak yang baharu ini akan dilengkapi dengan kemudahan dan infrastruktur moden.

“Ia bukan sahaja dapat menambah baik persekitaran kerja serta kebajikan pegawai kerajaan, malah turut mengukuhkan imej JKR Sarawak sebagai sebuah agensi kerajaan yang moden dan progresif di Sarawak,” katanya.

Seah berkata kejayaan terbaharu itu berjaya melonjakkan nilai perolehan kontrak tertunggak Hartanah Kenyalang kepada RM800.5 juta setakat 9 Julai, 2026.

“Nilai perolehan kontrak tertunggak sebanyak RM800.5 juta ini juga menandakan nilai kontrak yang sedang dilaksanakan dengan potensi tertinggi dalam sejarah operasi Hartanah Kenyalang,” tambahnya.

-- BERNAMA