Malaysia Kekal Terbuka Kepada Kerjasama Tenaga Dengan Rusia, Pertahankan Amalan Perdagangan Global
Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 9 Julai (Bernama) -- Malaysia akan terus mempelbagaikan sumber bekalan tenaganya dalam rangka kerja perdagangan yang diterima secara global sebagai ekonomi terbuka, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Kepelbagaian bekalan tenaga Malaysia selanjutnya, termasuk potensi kerjasama dengan Rusia akan terus dipertimbangkan, katanya.
"Tetapi kita hanya akan berdagang perkara yang boleh diterima daripada asas perdagangan antarabangsa. Malaysia adalah ekonomi terbuka dan untuk menjadi ekonomi terbuka, anda mesti beroperasi dalam rangka kerja yang menjadikan kita boleh diterima secara global," katanya pada sesi panel di Sidang Kemuncak Asia Reuters Next 2026 pada Khamis.
Menurut Amir Hamzah, Malaysia tidak menghadapi kekangan bekalan tenaga walaupun harga minyak tidak menentu dan bekalan global terganggu apabila Selat Hormuz ditutup.
Beliau berkata Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka akan mematuhi apa sahaja sekatan yang sedang berkuat kuasa.
“Dalam tempoh peperangan ini, terdapat keadaan di mana sekatan telah dimansuhkan, juesteru ia menjadi perdagangan yang berdaya maju. Sama ada anda melihat Iran atau Rusia, mereka menarik balik sebahagian daripada sekatan tersebut, tetapi jika ia kembali menjadi kekangan, kita akan memanfaatkan ruang yang ada,” katanya.
Amir Hamzah juga menekankan bahawa Malaysia telah mengunjurkan kejelasan dasar yang membina asas diperlukan untuk menarik pelabur serta menyatakan bahawa negara ini mempunyai kestabilan dalam kuasa, air dan kumpulan bakat, memberi jaminan kepada pelabur bahawa peraturan tidak akan berubah sebaik sahaja pelaburan dibuat, terutamanya dalam industri pusat data yang berkembang pesat.
“Lihat apa yang telah kami lakukan dari segi mentransformasikan dan melaksanakan peraturan yang memastikan kemampanan jangka panjang. Lihat bagaimana kami telah menterjemahkan pelaburan dan menukarkannya kepada kedudukan global sepanjang proses tersebut, elemen pertumbuhan baharu yang masuk, kerana kami berpaksikan kepada dasar yang boleh dijangka, katanya.
-- BERNAMA