Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Selepas Reaksi Terhadap Mandat B50 Indonesia
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas para peniaga memberi reaksi terhadap pengumuman rasmi Indonesia mengenai mandat biodiesel B50, yang mencerminkan jangkaan penggunaan minyak sawit domestik yang lebih rendah.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani berkata pasaran menjangkakan program B50 menyerap kira-kira 17.6 juta tan MSM tetapi pengumuman rasmi menunjukkan penggunaan hanya setakat 16.7 juta tan, ini menjejaskan sentimen pasaran.
"Peruntukan masih belum diumumkan dan pasaran sedang menunggu butiran lanjut. Ini penting dalam menentukan jumlah sebenar MSM yang akan digunakan di bawah program B50 tersebut," katanya kepada Bernama.
Apabila ditanya sama ada harga MSM akan pulih sebaik sahaja butiran peruntukan dikeluarkan, beliau berkata ia bergantung kepada cara pasaran bertindak balas terhadap pengumuman itu.
Indonesia secara rasmi melancarkan program biodiesel B50 mandatori hari ini, yang menurut kerajaannya, akan membolehkan negara itu menghapuskan import diesel buat kali pertama.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia berkata Indonesia menggunakan antara 38 juta hingga 40 juta kiloliter diesel setiap tahun dan sebelum ini mengimport sekitar tiga juta hingga empat juta kiloliter setahun sebelum pengenalan biodiesel B50.
Beliau berkata program itu akan meningkatkan permintaan minyak sawit mentah (MSM) domestik daripada 15.2 juta tan kepada antara 16.3 juta hingga 17 juta tan setiap tahun, sekali gus membantu memberikan jaminan pasaran yang lebih besar kepada petani kelapa sawit negara.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Julai 2026 susut RM21 kepada RM4,482 satu tan, Ogos 2026 merosot RM16 kepada RM4,556, September 2026 turun RM15 kepada RM4,594, Oktober 2026 melemah RM10 kepada RM4,627, November 2026 jatuh RM9 kepada RM4,659 dan Disember RM5 berkurangan sebanyak RM5 kepada RM4,689.
Jumlah dagangan menurun kepada 84,918 lot berbanding 96,582 lot yang dicatatkan pada Rabu, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 284,416 kontrak daripada 288,327 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan kekal tidak berubah pada RM4,530 setan.
-- BERNAMA