MOF Nafi Sekatan Menyeluruh Peruntukan KKM Dan KPM Untuk Tahun 2026
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan tidak melaksanakan sekatan menyeluruh terhadap peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tahun 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, fokus kerajaan kekal kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam, penyelenggaraan fasiliti kesihatan, perolehan ubat-ubatan dan peralatan perubatan serta pengukuhan kapasiti sistem kesihatan negara.
“Sebarang pelarasan perbelanjaan dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan teras kepada rakyat,” menurut Kementerian Kesihatan dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang bertanya mengenai peruntukan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan untuk tahun ini, dan jika ianya telah dipotong diperuntukan.
Selain itu, bagi Kementerian Pendidikan pula, keutamaan kerajaan terus diberikan kepada operasi sekolah, kebajikan murid dan guru, penyelenggaraan institusi pendidikan serta pelaksanaan program pendidikan yang berimpak tinggi.
“Langkah mengoptimumkan perbelanjaan yang dilaksanakan tertumpu kepada perbelanjaan yang boleh dijimatkan tanpa menjejaskan kualiti dan akses pendidikan,” menurut MOF.
-- BERNAMA