BERITA TERKINI   PRN Johor: Poster fizikal kempen tidak gambarkan calon sebenar perlu diturunkan - SPR | PRN Johor: 43,036 petugas digerakkan esok, pastikan proses pengundian teratur | PRN Johor : SPR jangka peratusan keluar mengundi esok capai 70 peratus | 

Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Kekal Pada 4.0-5.0 Peratus - Gabenor BNM

Oleh M. Saraswathi & Karina Imran

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat, dengan pertumbuhan ekonomi berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026, kata kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Dalam temu bual bersama Bernama, Abdul Rasheed berkata petunjuk ekonomi terkini menunjukkan aktiviti ekonomi dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada suku kedua 2026, namun ekonomi negara terus mempamerkan daya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.

Ad Banner

"Kita menjangkakan pertumbuhan akan menjadi lebih sederhana, namun ia masih merupakan pertumbuhan yang baik berdasarkan perkembangan ekonomi global," katanya.

Beliau pada masa sama menyatakan BNM kekal yakin bahawa pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan 2026 akan berada dalam lingkungan unjuran 4.0 hingga 5.0 peratus, malah tidak menolak kemungkinan ia mencecah menghampiri paras tertinggi julat berkenaan.

"Pertumbuhan pada kadar 4.0 hingga 5.0 peratus dalam tempoh yang mencabar ini merupakan pencapaian yang kukuh," katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi kemas kini terbaharu World Economic Outlook mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.7 peratus bagi 2026 dengan menyatakan bahawa Malaysia terus mendapat manfaat daripada aktiviti berkaitan pusat data serta pemulihan kitaran teknologi global.

Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026 dijadual diumumkan pada 17 Julai, manakala angka rasmi akan diterbitkan pada Ogos.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata keyakinan BNM terhadap unjuran pertumbuhan itu disokong beberapa faktor, termasuk konflik di Asia Barat yang semakin reda serta keadaan rantaian bekalan global yang semakin stabil apabila perniagaan menyesuaikan operasi menerusi kepelbagaian sumber bekalan.

"Bekalan tenaga juga semakin stabil. Perniagaan berjaya mendapatkan sumber bekalan alternatif dan menyesuaikan operasi mereka dan ini sekali gus membantu menstabilkan harga," katanya.

Di dalam negara, beliau berkata permintaan domestik kekal berdaya tahan, disokong pasaran buruh yang stabil, prestasi eksport yang kukuh serta aktiviti pelaburan yang terus berkembang, dengan kadar pengangguran kekal sekitar 2.9 hingga 3.0 peratus, mencerminkan keadaan guna tenaga hampir penuh.

Katanya meskipun terdapat syarikat yang lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja susulan ketidaktentuan persekitaran global, kebanyakannya masih mengekalkan tenaga kerja sedia ada.

"Pertumbuhan eksport yang kukuh juga dijangka terus menyokong pasaran buruh, sekali gus merangsang penggunaan swasta," katanya.

Abdul Rasheed berkata pemacu pertumbuhan ekonomi dijangka terus kukuh, didorong permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Aliran pelaburan juga kekal memberangsangkan, dipacu projek sedia ada dan baharu termasuk pembangunan pusat data, selain pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, katanya.

Beliau berkata kadar pelaksanaan pelaburan yang diluluskan masih tinggi dan diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi sebenar, dengan projek-projek berskala kecil yang dilaksanakan kerajaan dan sektor swasta turut menyokong kesinambungan aktiviti ekonomi.

"Kesemua faktor ini terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi domestik," katanya.

-- BERNAMA