AirAsia, TAT Perkukuh Kerjasama Pacu Sektor Pelancongan Thailand
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Air Asia Group Bhd dan Tourism Authority of Thailand (TAT) memperkukuh hubungan strategik jangka panjang menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) bagi mempromosikan Thailand sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di rantau ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata kerjasama penerbangan selama tiga tahun dari 2026 hingga 2029 itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk merancakkan sektor pelancongan, memperkukuh hubungan udara serantau serta menggalakkan lebih ramai pelancong meneroka keunikan dan pelbagai tarikan yang ditawarkan Thailand.
"Menerusi kerjasama ini, AirAsia dan TAT akan melaksanakan inisiatif promosi bersepadu dengan memanfaatkan keupayaan pemasaran, komunikasi serta ekosistem pelancongan kedua-dua pihak bagi meningkatkan daya tarikan Thailand sebagai destinasi pilihan, di samping menyokong pertumbuhan jumlah pelawat dari pasaran utama.
"Kedua-dua pihak turut akan bekerjasama rapat dalam mempromosikan laluan penerbangan sedia ada dan baharu, serta berkongsi pandangan pasaran bagi memahami keperluan perjalanan yang berkembang dan mengenal pasti peluang baharu untuk memacu pertumbuhan sektor pelancongan serantau," katanya.
AirAsia Group kini mengendalikan sebanyak 123 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Thailand menerusi AirAsia Malaysia (AK) dan Thai AirAsia (FD), menghubungkan pelancong melalui lapan laluan terus.
Dari Kuala Lumpur, AirAsia menawarkan penerbangan ke Bangkok (Don Mueang), Chiang Mai, Phuket, Krabi dan Hat Yai, selain menghubungkan Pulau Pinang ke Bangkok (Don Mueang) dan Phuket, serta Johor Bahru ke Bangkok (Don Mueang).
Rangkaian penerbangan yang meluas ini terus menawarkan kemudahan perjalanan yang lancar, berpatutan dan lebih mudah antara kedua-dua negara, kata syarikat penerbangan itu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Farouk Kamal berkata pada separuh pertama 2026, AirAsia telah menerbangkan lebih satu juta penumpang antara Malaysia dan Thailand, sekali gus mengesahkan permintaan kukuh terhadap perjalanan antara kedua-dua negara.
"Menerusi kerjasama strategik bersama TAT ini, kami berharap dapat meneruskan momentum positif dengan meningkatkan ketibaan pelawat, memperkukuh kesalinghubungan serta mempromosikan keistimewaan Thailand menerusi inisiatif pemasaran dan pelancongan yang berimpak tinggi," kata beliau.
-- BERNAMA