Sektor Pembuatan Berdaya Tahan, Apex Unjur Pertumbuhan 4.5 Peratus
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Apex Securities mengekalkan unjuran pertumbuhan sektor pembuatan Malaysia bagi 2026 pada 4.5 peratus tahun ke tahun, tidak berubah daripada ramalan sebelum ini, dengan pertumbuhan pengeluaran dijangka sederhana berikutan penyusutan aktiviti penyimpanan stok serta kesan asas tinggi selepas prestasi kukuh pada separuh kedua 2025.
Pengeluaran sektor pembuatan berkembang 6.4 peratus setakat tahun ini, mencerminkan momentum kukuh yang disokong permintaan domestik dan eksport.
Firma broker itu bagaimanapun kekal berhati-hati terhadap prospek sektor berkenaan pada separuh kedua 2026 selepas Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan bagi Mei menunjukkan aktiviti pembelian firma tidak banyak berubah, menandakan fasa penstabilan selepas dua bulan berturut-turut aktiviti pembelian stok lebih awal.
"Pengeluar turut terus melaporkan peningkatan ketara dalam kos input susulan konflik Asia Barat, walaupun kadar kenaikan kos tersebut mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan.
"Kami kekal berwaspada terhadap kesan tertangguh daripada peningkatan kos bahan mentah dan logistik, dengan Indeks Harga Pengeluar (PPI) meningkat kepada 7.8 peratus tahun ke tahun pada Mei berbanding 5.4 peratus pada April, selain gangguan bekalan yang tidak sekata merentasi sektor," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) meneruskan momentum positif dengan meningkat 8.4 peratus tahun ke tahun pada Mei berbanding 8.2 peratus pada April, dipacu lonjakan pengeluaran perlombongan sebanyak 19.8 peratus.
Bagaimanapun, peningkatan itu sebahagiannya diimbangi oleh pertumbuhan pengeluaran sektor pembuatan yang sederhana kepada 6.6 peratus serta pengeluaran elektrik yang meningkat 4.2 peratus.
Dalam perkembangan berkaitan, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berpandangan kelemahan segmen berorientasikan domestik sebahagiannya disebabkan faktor khusus sektor, manakala pengeluaran kenderaan bermotor dijangka kembali normal apabila aktiviti pengeluaran disambung semula.
HLIB memaklumkan permintaan domestik kekal disokong oleh langkah kerajaan yang menyokong pertumbuhan, manakala momentum positif sektor elektrik dan elektronik (E&E) menunjukkan prospek yang berterusan bagi aktiviti pembuatan dan eksport.
"Bagaimanapun, risiko luaran masih wujud, khususnya susulan peningkatan semula ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran baru-baru ini. Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 2026 pada 4.7 peratus," katanya.
-- BERNAMA