RHB Bank Perkenal Kad Kredit-i RHB Sinar Dengan Kadar Keuntungan 14 Peratus
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- RHB Bank Bhd memperkenalkan Kad Kredit-i RHB Sinar baharu yang menawarkan kadar keuntungan bagi transaksi runcit sebanyak 14 peratus setahun.
Kadar ini setanding dengan tawaran serupa daripada institusi kewangan lain, malah lebih rendah daripada kadar lazim industri yang boleh mencecah sehingga 18 peratus setahun.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank berkenaan menyatakan kad baharu itu mencerminkan komitmen RHB untuk menjadikan kemudahan kredit yang bertanggungjawab serta lebih mudah diakses selain menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
Bank itu memaklumkan kad tersebut direka berasaskan ciri-ciri asas kad kredit tanpa kos tambahan untuk manfaat gaya hidup premium sekali gus menawarkan penyelesaian kredit yang mudah dan mampu milik untuk perbelanjaan harian.
Menurutnya lagi, kad berkenaan turut didatangkan tanpa yuran tahunan dan tanpa caj kewangan berkompaun.
"Penggunaan nama ‘Sinar’ yang bermaksud pancaran cahaya mencerminkan aspirasi RHB untuk membantu pelanggan dalam mengemudi perjalanan kewangan mereka dengan lebih yakin dan jelas.
“Dengan menyediakan pilihan kredit yang mudah dan mampu milik, Kad Kredit-i RHB Sinar membantu pelanggan mengurus keperluan kewangan harian sambil berusaha ke arah masa depan kewangan yang lebih cerah,” jelas RHB.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata setiap pelanggan mempunyai keperluan kewangan yang berbeza dan bagi kebanyakan mereka, perkara yang paling penting adalah memiliki kad kredit yang mudah serta mampu milik.
Katanya, ini bagi membantu pelanggan mengurus perbelanjaan harian dengan lebih yakin.
“Apabila kehidupan dan keutamaan masyarakat berubah, penyelesaian perbankan juga perlu berkembang seiring dan kami percaya pilihan pelanggan yang bermakna lahir daripada penawaran penyelesaian yang tepat untuk keperluan serta kecenderungan yang berbeza.
“Kad Kredit-i RHB Sinar menterjemahkan aspirasi tersebut kepada tindakan dengan menyediakan pilihan kredit yang ringkas dan mampu milik untuk pelanggan yang lebih mementingkan kemudahan berbanding ciri-ciri tambahan,” katanya.
Mohd Rashid memberitahu dengan memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan, pihaknya berharap dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendapatkan akses kepada kredit yang mampu milik dengan penuh keyakinan.
“Inilah cara kami meneruskan usaha dalam merealisasikan janji kami menerusi tema ‘Bersama Kita Memacu’,” tambah beliau.
Kad Kredit-i RHB Sinar melengkapkan rangkaian kad kredit konvensional dan Islam RHB sekali gus memberikan fleksibiliti kepada pelanggan untuk memilih kad yang paling sepadan dengan keutamaan kewangan serta tabiat perbelanjaan mereka.
Kumpulan itu turut menjelaskan bahawa pemegang kad kredit RHB sedia ada tidak akan terjejas dan boleh terus menggunakan kad semasa mereka seperti biasa.
Butiran lanjut mengenai Kad Kredit-i RHB Sinar termasuk kriteria kelayakan dan ketersediaan produk akan diumumkan menjelang pelancaran rasminya pada Oktober 2026.
-- BERNAMA