BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 3-1 Star City FC | Selangor raih juara keseluruhan SUKMA 2026 - Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA | Perenang Selangor Eliza Tan Ai Shen dan penembak Pahang Cheah Zen Hong dinobat Atlet Terbaik Wanita dan Lelaki SUKMA 2026 - Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA | 1 Sept diumum cuti peristiwa sempena kejayaan kontinjen Selangor rangkul juara keseluruhan SUKMA 2026 - MB Selangor | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Susulan Kelemahan Niaga Hadapan Serantau

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah hari ini susulan kelemahan niaga hadapan serantau serta pengukuhan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran terus terjejas berikutan konflik AS-Iran yang masih berlarutan serta kebimbangan baharu terhadap permintaan eksport selepas Kesatuan Eropah (EU) mengenakan duti antilambakan ke atas import tayar dari China.

Ad Banner

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya berjaya dihadkan berikutan pertumbuhan berterusan jualan kenderaan elektrik (EV) global, sektor pembuatan China yang kekal berdaya tahan serta kebimbangan terhadap kekurangan bekalan getah susulan cuaca hujan di negara pengeluar utama, Thailand,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun susut selepas EU mengenakan duti antilambakan antara 4.3 peratus hingga 45.3 peratus ke atas import tayar kenderaan penumpang dan trak ringan dari China sekali gus menjejaskan jangkaan permintaan daripada pengeksport China.

Menurut peniaga itu, jualan EV global meningkat tujuh peratus pada Jun kepada dua juta unit dipacu oleh pertumbuhan di Eropah walaupun permintaan di China dan Amerika Utara didapati lebih lemah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata hujan lebat yang diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Thailand dari 5 hingga 11 Julai dijangka menjejaskan aktiviti penorehan getah sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan getah asli dalam tempoh jangka pendek.

Pada 3 petang hari ini, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 12 sen kepada 882.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut satu sen kepada 729.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA