Kenaikan Saham Perladangan, Komoditi Rangsang Bursa Malaysia Ditutup Lebih Tinggi
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin apabila saham perladangan dan berkaitan dengan komoditi mencatatkan peningkatan, seterusnya mengimbangi sentimen berhati-hati di pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.95 mata atau 0.41 peratus kepada 1,698.44 daripada 1,691.49 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi 1.81 mata kepada 1,693.30 dan berlegar antara 1,685.74 dan 1,703.10 sepanjang hari. Indeks itu berjaya melepasi paras psikologi 1,700 buat seketika pada sesi dagangan lewat petang.
Sentimen pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 653 berbanding 440, manakala 533 kaunter tidak berubah, 1,088 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.
Jumlah dagangan menokok kepada 3.09 bilion unit bernilai RM2.23 bilion berbanding 2.85 bilion unit bernilai RM2.25 bilion pada Jumaat.
Mengulas mengenai prestasi bursa, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng kekal optimis tetapi berhati-hati walaupun risiko geopolitik menunjukkan peningkatan.
Beliau berkata kekuatan dalam sektor berkaitan komoditi dan asas pasaran domestik yang berdaya tahan dijangka memberi sokongan kepada bursa tempatan.
“Kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran berlegar dalam julat 1,690 hingga 1,710 pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata walaupun indeks petunjuk pasaran ditutup di bawah paras psikologi 1,700 mata, pasaran masih kekal berdaya tahan.
Ini disokong oleh kembalinya pelabur asing yang menjadi pembeli bersih sepanjang tiga sesi dagangan yang lepas, sekali gus menyuntik semula mudah tunai baharu dan menyokong saham-saham bermodal besar.
“Pada peringkat serantau, pasaran ekuiti Asia ditutup bercampur-campur apabila pelabur menyeimbangkan risiko geopolitik dengan asas ekonomi yang semakin baik di beberapa pasaran terpilih, manakala tinjauan makroekonomi Malaysia yang stabil dan minat pelabur asing yang berterusan terus menyokong pasaran ekuiti domestik,” tambah beliau.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM10.94, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing menambah tiga sen kepada RM4.92 dan RM8.47, CIMB menokok lima sen kepada RM7.69, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.30.
Bagi saham aktif, Tanco naik 4.5 sen kepada 24 sen, Zetrix AI dan VS Industry masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 76.5 sen dan 21 sen. HHRG menambah setengah sen kepada 11.5 sen manakala PUC tidak berubah pada 4.5 sen.
Antara saham paling untung, United Plantations melonjak 76 sen kepada RM35.02, Kuala Lumpur Kepong meningkat 28 sen kepada RM21.88, SD Guthrie menambah 21 sen kepada RM6.45, manakala Press Metal dan Sarawak Oil Palms masing-masing naik 15 sen kepada RM7.85 dan RM5.15.
Malaysian Pacific Industries mendahului senarai saham paling rugi, susut RM1.70 kepada RM44.30, Fraser & Neave merosot 76 sen kepada RM28.94, Petronas Dagangan jatuh 34 sen kepada RM19.22, UWC menyusut 29 sen kepada RM6.01, manakala Kelington turun 26 sen kepada RM7.70.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 30.15 mata kepada 12,553.96, Indeks FBMT 100 melonjak 32.27 mata kepada 12,386.60 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 23.77 mata kepada 12,397.39.
Sementara itu, Indeks FBM 70 menyusut 32.11 mata kepada 17,826.36 dan Indeks FBM ACE turun 28.42 mata kepada 4,865.01.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 98.41 mata kepada 20,020.07, Indeks Perladangan menokok 185.21 mata kepada 9,387.52, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.94 mata kepada 183.52, manakala Indeks Tenaga menambah 4.47 mata kepada 773.29.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.56 bilion unit bernilai RM1.96 bilion daripada 1.31 bilion unit bernilai RM1.93 bilion pada Jumaat lepas.
Bagi jumlah dagangan waran pula, ia menokok sedikit kepada 1.07 bilion unit bernilai RM131.26 juta daripada 1.05 bilion unit bernilai RM139.75 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 462.71 juta unit bernilai RM143.73 juta daripada 491.14 juta unit bernilai RM177.02 juta pada Jumaat.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 169.18 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (268.80 juta), pembinaan (92.64 juta), teknologi (239.39 juta), perkhidmatan kewangan (53.36 juta), hartanah (463.66 juta), perladangan (54.63 juta), amanah pelaburan hartanah (13.25 juta), dana tertutup (42,400), tenaga (78.87 juta), penjagaan kesihatan (47.99 juta), telekomunikasi dan media (22.55 juta), pengangkutan dan logistik (26.25 juta), utiliti (31.59 juta) dan amanah perniagaan (20,200).
-- BERNAMA