BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 | Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan memasuki negara ini - PM Anwar | 

Tiada Keperluan Ubah Unjuran Belanjawan 2027 Setakat Ini - Liew

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Tiada keperluan untuk mengubah unjuran semasa bagi Belanjawan 2027 berdasarkan prestasi kewangan kerajaan pada separuh pertama 2026, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Bagaimanapun, katanya kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa sehingga Belanjawan 2027 dibentangkan pada Oktober ini.

“Kenaikan harga minyak telah meningkatkan perbelanjaan subsidi kerajaan yang dianggarkan mencecah RM40 bilion.

Ad Banner

“Pada masa sama, ia turut menyumbang kepada peningkatan hasil berkaitan petroleum apabila setiap kenaikan sebanyak US$1 setong kepada harga minyak mentah dunia dianggarkan memberi impak kira-kira RM300 juta kepada hasil berkaitan petroleum.

“Ini tidak termasuk dividen yang diberikan oleh Petronas. Peningkatan hasil ini dapat membantu menampung sebahagian peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai kesan peningkatan subsidi bahan api susulan konflik di Asia Barat terhadap kerangka Belanjawan 2027 yang sedang digubal, sasaran defisit fiskal 2026 serta kemungkinan kerajaan memperkenalkan cukai baharu berikutan tekanan fiskal ke atas kewangan negara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Liew berkata kerajaan turut memantau prestasi kutipan hasil secara berkala bagi memastikan keupayaan menampung keperluan perbelanjaan mengurus susulan perkembangan konflik geopolitik di Asia Barat.

“Kita juga memantau situasi ekonomi semasa melalui pelaksanaan sesi libat urus berterusan secara mingguan oleh pasukan petugas pengurusan krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan bekalan tenaga dan keperluan asas kekal terjamin,” katanya.

Mengenai unjuran fiskal 2026, Liew berkata kerajaan telah melaksanakan langkah intervensi segera, komprehensif dan tersusun bagi memastikan tahap perbelanjaan kerajaan keseluruhan dapat dikekalkan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.

“Unjuran fiskal akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2027 selepas mengambil kira indikator ekonomi semasa serta prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan kerajaan sehingga separuh pertama 2026,” katanya.

Beliau berkata kerajaan kekal yakin trajektori konsolidasi fiskal jangka sederhana dapat diteruskan menerusi pelaksanaan subsidi bersasar, penyusunan semula keutamaan perbelanjaan, usaha berterusan meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta pengukuhan kutipan hasil dan pematuhan cukai.

Liew berkata pendekatan itu akan memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan di samping memenuhi keperluan perbelanjaan kerajaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan perkembangan geopolitik semasa.

-- BERNAMA