Tiada Pembayaran Insentif Pengeluaran Getah Bagi Ogos 2026 - LGM
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi Ogos 2026 di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak tidak diaktifkan berikutan harga purata getah sekerap di peringkat ladang bagi bulan berkenaan melebihi RM3.00 sekilogram.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata harga purata getah sekerap di peringkat ladang bagi Ogos 2026 masing-masing ialah RM3.90 sekilogram di Semenanjung Malaysia, RM3.60 sekilogram di Sabah dan RM3.40 sekilogram di Sarawak.
“Sehubungan itu, tiada bayaran IPG akan dibuat bagi bulan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, LGM berkata IPG bagi lateks akan diaktifkan serentak dengan pengaktifan IPG bagi getah sekerap.
Kadar IPG bagi lateks ditetapkan pada RM0.90 sekilogram bagi lateks yang mempunyai kandungan getah kering 100 peratus.
“IPG akan dibayar kepada semua pekebun kecil getah rakyat Malaysia yang layak,” katanya.
Sebelum ini, diumumkan bahawa berkuat kuasa Januari 2024, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan getah sekerap peringkat ladang adalah pada atau di bawah RM3.00 sekilogram.
-- BERNAMA