SAIC Motor Malaysia Lancar SUV Pemasangan Tempatan MG ZS Bulan Ini Bermula Dari RM105,000
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- SAIC Motor Malaysia Sdn Bhd (SAIC Motor Malaysia) merancang untuk memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan (CKD) MG ZS untuk pasaran Malaysia menjelang akhir Oktober, yang melibatkan dua varian iaitu MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hibrid+.
SAIC Motor Malaysia adalah anak syarikat SAIC Motor Corp., Ltd dari China dan merupakan pengedar rasmi kenderaan MG di Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan bahawa anggaran harga jualan ialah RM105,000 bagi varian Turbo dan RM115,000 bagi varian Hibrid+ (Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans), selain manfaat tempahan.
Bagi varian MG ZS Hibrid+, ia menampilkan rangkaian kuasa hibrid khusus dan transmisi hibrid 3-kelajuan.
“Secara keseluruhannya, teknologi ini menawarkan pakej menarik yang menggabungkan prestasi, kecekapan dan nilai yang hebat,” kata Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi.
Sementara itu, MG ZS boleh didapati dalam pilihan warna Flare Red, Silver, Andes Grey dan York White, yang dipadankan dengan ruang dalaman premium serba hitam yang menampilkan tempat duduk kulit sintetik berliang.
Menurut kenyataan itu, 1,000 pelanggan pertama yang membuat tempahan sebelum 30 Oktober 2026 boleh menikmati manfaat eksklusif bernilai RM3,000, di samping penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
Tempahan awal bagi MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hibrid+ boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi MG Malaysia di www.mgmalaysia.com.
Selain itu, orang ramai juga boleh melihat MG ZS Hibrid+ serba baharu di Nexus Bangsar South dari 19 hingga 23 Oktober.
-- BERNAMA