Sebanyak 27 Projek Pusat Data Diluluskan DCTF, Anggaran Pelaburan RM225.97 Bilion
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Sebanyak 27 projek pusat data dengan anggaran nilai pelaburan RM225.97 bilion telah diluluskan di bawah Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) sehingga Julai 2026, menurut Kementerian Digital.
Kementerian itu memaklumkan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan 84 projek pusat data yang diluluskan sehingga tempoh itu.
Menurutnya daripada 27 projek di bawah DCTF yang ditubuhkan pada Februari 2025, sebanyak 16 pusat data berada di Johor, 10 di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.
“Daripada 27 buah pusat data tersebut, satu pusat data telah beroperasi manakala 26 lagi masih dalam status pembinaan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai jumlah pusat data yang diluluskan DCTF mengikut negeri serta limpahan ekonominya kepada rakyat tempatan.
Menurut kementerian itu, projek pusat data berkenaan dijangka mewujudkan 4,053 peluang pekerjaan termasuk 3,523 jawatan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal, rangkaian, keselamatan siber serta operasi dan penyelenggaraan pusat data.
Kementerian memaklumkan sebanyak 89.21 peratus daripada jawatan berkemahiran tinggi itu dijangka diisi rakyat Malaysia.
“Projek yang diluluskan di bawah DCTF tertakluk kepada syarat minimum 30 peratus kandungan tempatan, dengan pelaksanaan dan pematuhannya dipantau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui laporan pelaksanaan projek yang perlu dihantar setiap enam bulan.
“Bagi memperkukuh pemindahan kemahiran dan teknologi, TalentCorp Malaysia sedang merangka Program Pengurusan Kemudahan Pusat Data untuk melatih peserta tempatan dalam kemahiran berkaitan operasi dan penyelenggaraan pusat data,” menurutnya.
-- BERNAMA